Sentiasa siap siaga tangani perubahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Cabaran yang dihadapi oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) kini semakin kompleks dalam mana kes-kes jenayah yang melibatkan ancaman pengganas dan ideologi bercanggah termasuk tindak tanduk segelintir
masyarakat yang ada kalanya di luar jangkaan.

Begitu juga dengan kecanggihan teknologi infokomunikasi dan alam siber turut merubah landskap komunikasi sosial serta potensi ancamannya kepada keselamatan.

“Oleh itu, perkembangan tersebut menuntut pihak polis untuk sentiasa siap siaga dalam menangani serta mengurus kesan daripada perubahan-perubahan yang amat disruptif kepada keharmonian kehidupan dan perpaduan masyarakat,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Perbarisan sempena Hari Polis ke-99 tahun di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.

Ke arah itu, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, pembangunan kompetensi yang relevan kepada setiap anggota adalah signifikan bagi memperkasa keupayaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan.

“Dalam hubungan ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota untuk sentiasa menanamkan sikap sense of purpose and urgency melalui amalan budaya kerja yang sentiasa bermatlamat serta bersegera dalam tindakan demi menanai amanah pasukan polis.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda semasa Majlis Istiadat Perbarisan sempena Hari Polis ke-99 tahun. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Di arena global pula, saya gembira mengetahui pasukan polis terus berusaha mengembangkan rangkaian kerjasama dengan pasukan polis serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pasukan pengaman di kawasan konflik tertentu.”

Perkara tersebut, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, setentunya membantu ke arah memantapkan lagi kemampuan serta reputasi Pasukan Polis Diraja Brunei menurut standard dan perspektif luar agar sama hebat serta setanding dengan pasukan-pasukan asing yang seangkatan.

Setiap anggota juga, menurut Duli Yang Teramat Mulia, hendaklah sentiasa peka terhadap landskap keselamatan semasa dengan mengikuti perkembangan bidang kepolisan serantau dan antarabangsa, di samping bersedia untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik menurut perspektif dan impak positifnya kepada negara.

“Perkara ini adalah selaras dengan titah Paduka Ayahanda semasa berkenan berangkat ke Pasukan Polis Diraja Brunei pada 5 September 2019, bahawa pasukan polis perlu mencari kecemerlangan dalam kerjaya, cegah betul-betul jenayah, bersihkan Negara Brunei Darussalam daripada jenayah, ianya sebenar-benar tugas pasukan polis.

“Bersukut daripada titah tersebut, saya juga ingin menekankan tentang kepentingan untuk pasukan polis sentiasa beringat dan berwaspada bahawa setiap tindakan, tugasan dan interaksinya bersama masyarakat adalah signifikan kepada meraih keyakinan masyarakat serta menegakkan kedaulatan undang-undang,” nasihat Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei atas dedikasi dan khidmat bakti dengan usaha berterusan untuk mengekalkan profesionalisme dan momentum kecemerlangan demi keutuhan keharmonian kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Pasukan polis yang akan mencapai usia ke-100 tahun, telah menempuh berbagai-bagai bentuk cabaran dan dugaan serta cabaran yang bakal diharungi pasukan polis yang setentunya turut mempengaruhi perkembangan, ketahanan dan integritinya secara keseluruhan.

Dengan membawa tema Sambutan Hari Polis tahun ini ‘Bersama Menghadapi Cabaran’ memperingatkan semua bahawa keteguhan iman serta nilai-nilai beragama dan bernegara adalah sinonim dengan cabaran kerjaya dan tugasan bidang kepolisan yang memerlukan komitmen di samping jati diri yang tinggi.

Justeru itu, Duli Yang Teramat Mulia menekankan bahawa ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja serta sikap jujur, amanah, dan kebertanggungjawaban kepada pucuk kepimpinan adalah merupakan teras kepada pasukan polis dalam bersama-sama mempertahankan kesucian agama, perpaduan rakyat, serta memelihara ketenteraman dan kedaulatan negara.

“Akhirnya, bersempena Istiadat Perbarisan Hari Polis ke-99 tahun, marilah kita bersama-sama bertekad untuk terus menabur khidmat terbaik ke arah meningkatkan serta memperkukuhkan kewibawaan pasukan polis seiring dengan tuntutan zaman.

“Di sebalik segala tindakan dan apa jua usaha yang dilaksanakan, saya ingin
menekankan bahawa setiap usaha dan tindakan tersebut hendaklah didasari dengan doa serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT agar kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah serta dalam pemeliharaan dan keredhaan-Nya,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.