Sentiasa utamakan kebersihan bungkusan barangan import

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Penularan wabak COVID-19 melalui titisan berkemungkinan boleh sahaja berlaku dalam kalangan pekerja terutama sekali ketika melakukan kerja-kerja pembungkusan makanan dan sebagainya.

Menurut laporan, virus ini boleh bertahan lama dalam keadaan sejuk ataupun dibekukan dan ia juga boleh bertahan dalam cuaca sejuk.

“Oleh itu, orang ramai diseru untuk sentiasa mengamalkan kebersihan ke atas segala barangan yang berbungkus dan barang-barang yang diambil oleh runners adalah dinasihatkan untuk diasingkan selama tiga hari dahulu sebelum ianya diserahkan kepada pemilik.”

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 mengenai terdapatnya laporan kes jangkitan gelombang kedua di Beijing, China yang dikatakan berpunca daripada pekerja melalui titisan yang terkena pada bungkusan dan sebagainya.

“Titisan-titisan ini boleh gugur pada bungkusan atau makanan. Sebab itulah sebelum ini kami tidak membenarkan bufet, kerana semasa bufet orang bercakap dan titisan-titisan itu akan terkena pada makanan,” jelasnya lagi bagi menjawab persoalan mengenai adakah negara perlu risau berikutan China yang telah menemui jejak virus tersebut pada permukaan makanan laut dan ayam yang diimport.