Monday, March 27, 2023
29.9 C
Brunei

-

Sentiasa waspada ancaman jenayah siber

Oleh Nurdiyanah R.

Seiring berlalunya waktu, kehidupan masyarakat dunia turut tidak terlepas berdepan kepesatan perkembangan teknologi lebih-lebih lagi dengan ada-nya aplikasi rangkaian media sosial.

Siapa di antara kita yang tidak kenal WhatsApp, Facebook, Instagram dan begitu juga YouTube? Penulis yakin kebanyakan kita di zaman milenium ini tidak kira golongan muda mahu pun dewasa sehingga generasi warga emas sekali pun pasti mengetahui mengenainya.

Meskipun penggunaan rangkaian media sosial memiliki 1,001 manfaat kepada kehidupan, namun ironinya, jika kita lalai dalam penggunaan dalam kehidupan sehari-hari, ia juga boleh terdedah kepada pelbagai ancaman yang membimbangkan kepada diri dan insan-insan di sekeliling sehingga menjerumus ke lembah jenayah. Salah satunya ancaman siber itu ialah peras ugut seksual dalam talian atau lebih dikenali sebagai sextortion.

Apa itu sextortion?

Berkesempatan ditemui penulis secara maya, Penganalisa Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Ida Frida Abu menyatakan peras ugut seksual dalam talian itu apabila seseorang yang tidak bertanggungjawab mendapat akses maklumat peribadi mahu pun perkara sensitif mangsa seperti foto, video dan sebagainya. Kemudian mereka mengancam untuk menerbitkan atau menyebarkannya sekiranya mangsa tidak membuat pembayaran wang seperti yang diminta.

Hurainya lagi, jenayah ini biasanya berlaku dalam masa yang begitu singkat antara dua individu, bayangkan bermula dari menerima friend request daripada individu yang tidak dikenali melalui media sosial maka dari situ bermulalah sesi perkenalan, pertukaran mesej dan besar kemungkinan juga nombor telefon. Begitu juga ada yang berkenalan dalam tempoh yang lama bagi membina kepercayaan antara dua pihak.

Dayang Ida menjelaskan sextorian adalah salah satu ancaman siber. – Gambar serahan CSB
Penipuan menggunakan internet mempunyai pelbagai jenis taktik untuk memperdaya mangsa seperti terjadinya peras ugut seksual dalam talian.

“Namun semua itu bergantung kepada modus operandi setiap penjenayah di mana setiap penjenayah itu memiliki teknik memerangkap mangsa. Apabila penjenayah tersebut merasakan mangsa mula mempercayai dan jatuh cinta kepadanya, mereka akan menjalinkan hubungan rapat dan mesra sehingga mangsa sanggup memberikan gambar dan video yang tidak senonoh.

“Apabila tiba masanya, penjenayah akan mengorak langkahnya untuk mengugut mangsanya supaya membuat pembayaran dalam masa yang dikehendaki dan jika gagal maka kemungkinan besar segala gambar dan video tersebut akan ditularkan dan inilah dikenali sebagai blackmail,” tekannya lagi yang turut berkongsi bahawa ancaman jenayah ini sering dilaporkan kepada pihak CSB dan kebanyakannya melibatkan golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan dan juga menyasarkan individu yang berpangkat atau well-known.

Henti dan laporkan segera

Tiada siapa yang ingin menjadi mangsa namun jika terjebak dengannya maka kita perlu melakukan beberapa perkara ini dengan segera mungkin.

Dalam hal ini, Dayang Ida menyatakan jangan sesekali mengikuti arahan yang diberikan oleh si penjenayah, iaitu dengan erti kata lain jangan membayar wang mahu pun berkongsi gambar dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk lagi.

Namun sekiranya mangsa telah membuat pembayaran sebelumnya maka langkah terbaik ialah dengan segera melaporkan kepada pihak bank atau penghantaran wang untuk dibatalkan.

“Penting untuk menghentikan semua komunikasi dengan segera dan laporkan akaun si pemangsa kepada media sosial yang digunakan serta blok akaun tersebut. Nyahaktif (tetapi jangan dihapus) mana-mana akaun yang kita gunakan untuk berkomunikasi dengan individu tersebut,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyarankan kepada mangsa untuk melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa iaitu anggota polis yang berkaitan dengan segera.

Sekiranya mangsa adalah individu di bawah umur, mangsa adalah digalakkan untuk memberitahu dan memaklumkan kepada orang dewasa yang dapat dipercayai seperti ibu bapa atau adik-beradik yang mereka rasa selesa bagi dibawa berbincang dan mampu menolong untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Begitu juga diingatkan agar mangsa perlu menyimpan tangkapan skrin dan segala maklumat yang berkaitan untuk tujuan bukti. Simpan maklumat seperti nama pengguna, maklumat akaun media sosial, salinan komunikasi, dan gambar mahu pun video yang dihantar.

Sentiasa beringat-ingat, tanggungjawab semua

Selain itu, Dayang Ida turut berkongsi beberapa langkah yang perlu diambil untuk memastikan pengguna media sosial selamat dari peras ugut seksual dalam talian antaranya jangan sesekali menerima friend request daripada orang yang tidak dikenali dan sentiasa beringat bahawa sesiapa sahaja boleh berpura-pura menjadi orang lain dalam talian.

Selain itu, kita juga perlu mengelak dari membuka lampiran daripada orang yang tidak dikenali dan begitu juga menghantar gambar peribadi kepada mereka.

Kita juga digalakkan untuk sentiasa berusaha menjauhi komputer daripada penggodam iaitu dengan memasang dan mengemas kini perisian antivirus dan teknologi antispyware dan juga sistem operasi komputer kita.

Di samping itu, kita juga disaran kan untuk menutup peranti elektronik dan kamera web awda apabila tidak digunakan; dan begitu juga dengan memastikan tetapan privasi aplikasi dan laman sosial kita diatur ke tahap paling ketat.

“Dalam sama-sama menangani masalah ini juga, para ibu bapa juga haruslah memainkan peranan mereka dengan sentiasa memantau media elektronik dan perisian yang dimuat turun oleh anak-anak mereka.

“Alangkah baiknya lagi, jika ibu bapa, penjaga mahu pun pendidik membincangkan pengetahuan keselamatan apabila melayari Internet dengan anak-anak dan para murid mereka di mana mereka harus menegaskan bahawa anak-anak dan para murid harus memberitahu orang dewasa jika ada yang mengancam atau meminta mereka untuk melakukan aksi-aksi yang tidak senonoh atau tidak bermoral,” jelasnya lagi dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual dalam talian, baru-baru ini.

Lidah tidak lagi menjadi satu-satunya alat utama komunikasi kerana setiap informasi boleh disampaikan dengan sekelip mata hanya dengan ketikan jari sama ada pada papan kekunci komputer, telefon bimbit atau pelbagai alat teknologi yang lain.

Hal ini menjadikan anggota jari kita telah beiringan dengan lidah, mula memainkan peranan untuk berkata-kata, manakala anggota mata pula sudah mula beiringan dengan telinga, berperanan untuk mendengar.

Penipuan Internet bukanlah sesuatu yang asing lagi. Jenayah yang tidak mengenal usia ini mempunyai pelbagai jenis taktik untuk memperdaya mangsa seperti terjadinya peras ugut seksual dalam talian.

Oleh itu, masyarakat tidak kira golongan muda mahu pun dewasa sehingga warga emas perlu sentiasa peka dalam menangani isu ini agar bersama melindungi diri dan ahli keluarga serta insan-insan di sekeliling kita dari menjadi mangsa penipuan siber.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -