Sentiasa waspada dengan penipuan pembelian duit lama

Oleh Nurdiyanah R.

Mari kita cuba bayangkan, seseorang mendakwa dirinya mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit selepas terpedaya dengan tawaran pembelian duit syiling lama daripada individu yang tidak dikenali. Setentunya akan mengalami perasaan bercampur baur antara marah dan sedih selepas ditipu, namun pernahkah kita terfikir bagaimana ini boleh terjadi?

Mungkin pembaca juga pernah mendapat komen-komen di laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram, kononnya seseorang berasal luar negara ingin membeli wang nota mahupun syiling lama awda dengan harga yang lumayan. Namun apa yang perlu pembaca lakukan?

“Hati-hati, jangan terpedaya! Mungkin itu merupakan satu lagi taktik penipuan yang berlaku di alam siber yang dinamakan penipuan dalam talian pembelian wang lama atau lebih dikenali sebagai Old Money Scam.

“Hakikatnya, seiring dengan perkembangan teknologi, penipu-penipu atau disebut sebagai scammer juga dilihat semakin licik mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan,” itulah antara penegasan daripada penganalisa keselamatan siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Siti Khadijah binti Haji Ismail kepada para pengguna pelbagai platform media sosial ketika berkesempatan ditemu bual penulis secara maya, baru-baru ini.

Berpura-pura minat

Dayang Siti Khadijah menyatakan bahawa penipuan dalam talian pembelian wang lama terjadi apabila seseorang iaitu si penipu atau scammer berhajat menawarkan harga yang tinggi atau berpura-pura berminat untuk membeli nota atau syiling lama daripada si mangsa (penjual wang nota atau syiling lama). Namun sebenarnya si penipu pula akan memanipulasi mangsa untuk membayar wang kepadanya.

Menerusi perkongsian secara maya, baru-baru ini, Dayang Siti Khadijah mengingatkan kepada masyarakat amnya agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan oleh scammer. – Gambar serahan CSB
Pembelian wang lama atau lebih dikenali sebagai Old Money Scam merupakan penipuan dalam talian yang kini semakin berleluasa. – Gambar hiasan
Kes membabitkan penipuan bukanlah suatu perkara baharu namun menjadi tanggungjawab seseorang pengguna untuk sentiasa peka agar tidak terjebak dengan penipuan di laman media sosial. – Gambar hiasan

“Modus operandi terjadi apabila si penipu akan memanipulasi awda untuk membayar wang kepada mereka. Misalnya, mereka akan menawarkan tawaran yang tinggi untuk membeli nota atau syiling lama dengan alasan hobi atau minat. Kemudian penjual atau mangsa akan bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan memerlukan penjual untuk menghantar barang tersebut.” jelasnya lagi.

Beliau menambah, kebiasaannya selang beberapa hari atau minggu, si penipu akan menghubungi mangsa untuk memberitahu bahawa akan ada bayaran atau cukai yang dikenakan untuk membuat pembayaran pemindahan wang dan memerlukan mangsa untuk menampung kos tersebut.

Bagaimana penipuan terjadi?

Dayang Siti Khadijah turut mengemukakan gambaran lebih lanjut bagaimana penipuan dalam talian pembelian wang lama ini boleh terjadi apabila si penipu mula mengorak langkahnya setelah berjaya memancing keyakinan si mangsa dengan harga yang dipersetujui.

“Jika si mangsa melayan, si penipu akan menawarkan harga yang tinggi untuk membeli nota atau syiling lama si mangsa. Kebiasaannya si penipu akan menawarkan 10 kali ganda daripada nilai yang sebenar.

“Alasan mereka duit lama itu akan dijual kepada muzium, pengumpul atau bank dunia untuk mendapatkan harga yang lebih mahal dan sebagainya. Saya pernah terjumpa beberapa posting yang berkaitan dengan penipuan ini di mana wang syiling Bank Negara Malaysia tahun 1980 bernilai 10 sen ditawarkan sebanyak RM40 ribu,” tekannya lagi.

Ujar beliau lagi, selepas persetujuan antara kedua belah pihak berlaku, si penipu akan meminta nombor akaun si mangsa dan kemudiannya akan berjanji untuk membayar menggunakan bank transfer atau telegraphic transfer kepada si mangsa. Namun tetapi mereka akan memberikan alasan bahawa bayaran tersebut tersekat kerana nilai pemindahan itu terlalu besar dan memerlukan untuk membayar cukai atau saman.

“Bayangkan sehari atau dua hari kemudian, seseorang akan menghubungi si mangsa mengatakan ada masalah dengan pemindahan wang yang mana besar kemungkinan yang menghubungi si mangsa adalah daripada kalangan rakan-rakan si penjenayah berkenaan yang menyamar sebagai pihak berkuasa untuk menakutkan si mangsa untuk membayar cukai atau saman tersebut.

“Si mangsa juga mungkin akan menerima emel yang mengatakan duit telah dihantar tetapi si mangsa perlu membayar sejumlah wang bayaran terlebih dahulu untuk melepaskan duit itu ke akaun mereka.

“Apabila si mangsa sudah membayar ke akaun si penjenayah, maka bermulalah episod ‘wang pampasan’ yang seakan-akan tidak pernah cukup sehingga sering kali berlaku juga si penipu bersama rakan-rakan yang menyamar itu akan sentiasa menghubungi si mangsa memberikan pelbagai alasan untuk memuaskan nafsu mereka untuk mendapat wang lebih banyak,” kongsinya lagi.

Berhati-hati, jangan terpedaya!

Dalam meniti perkembangan aplikasi teknologi maya, Dayang Siti Khadijah turut menyarankan semua lapisan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa agar tidak menjadi mangsa penipuan sedemikian.

“Ingatlah, sesiapa sahaja boleh berpura-pura menjadi orang lain dalam talian. Jangan sesekali membuka lampiran daripada orang yang tidak dikenali. Hal ini kerana penjenayah siber akan menggunakan pelbagai cara untuk mencari mangsa di dunia siber. Salah satunya adalah menggunakan teknik malware dari lampiran emel dan sebagainya.”

“Begitu juga jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan. Kalau kita perhatikan, beberapa tawaran yang menawarkan promosi ‘too good to be true’ untuk mencari mangsa supaya terpedaya dengan tipu helah mereka. Pastikan juga jangan berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali di media sosial terutama sekali jika situasi tersebut berkaitan dengan penipuan,” jelasnya lagi yang turut mengingatkan orang ramai akan nombor telefon yang sering digunakan bermula dengan 234 daripada Nigeria; 230 dari Mauritius; 960 dari Maldives; 44 dari Britain dan sebagainya. Namun apabila perkara ini terjadi, maka seseorang mangsa perlulah menyimpan tangkapan skrin dan surat menyurat seperti resit dan penyata bank untuk tujuan bukti dan laporkan kepada pihak polis.

“Laporkan akaun si penjenayah kepada media sosial yang telah digunakan dan block akaun si penipu serta hentikan semua komunikasi dengan segera. Jika awda pernah membayar sebarang jumlah wang kepadanya laporkan kepada pihak bank atau pun syarikat kiriman wang, seboleh-bolehnya 24 jam daripada pembayaran dilakukan.”

“Pelbagai kes membabitkan penipuan atau disebut sebagai scammer bukanlah suatu perkara baharu didengar namun segalanya menjadi tanggungjawab seseorang pengguna menerusi pelbagai aplikasi media sosial untuk sentiasa peka agar tidak terjebak dengan mereka yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya lagi semasa mengakhiri pertemuan maya bersama penulis, baru-baru ini.