Sentiasalah berfikiran positif dalam pekerjaan

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 6 MAC – Jabatan Penjara baru-baru ini meraikan seramai 30 orang pekerja cemerlangnya sebagai menghargai jasa dan bakti mereka sempena Penubuhan Jabatan Penjara ke-66 tahun.

Penyampaian sijil dan hadiah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual dua orang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara Tahun 2019 pada majlis itu. Koperal 561 Awang Yakub bin Akim menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana telah terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah. Menurutnya ia merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna bagi dirinya sepanjang berkhidmat di Jabatan Penjara sejak tahun 2003.

Beliau yang merupakan ketua Unit Kenderaan di Gerakan Khas Jabatan Penjara mengongsi bahawa dalam menjalankan tugasnya di Jabatan Penjara, kerjasama dan tanggungjawab terhadap segala tugasan dan arahan yang diamanahkan merupakan antara kunci dalam mencapai kecemerlangan dalam semua pekerjaan.

“Selain itu, pemikiran yang positif serta mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mantap juga adalah antara prinsip yang saya pegang bagi membantu diri saya menanai sikap amanah dalam menjalankan segala tugasan harian di penjara,” tambahnya.

Koperal 561 Awang Yakub sentiasa berfikiran positif.
Wadar Wanita 640 Dayang Linyafizah mahu terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

Beliau menitipkan nasihat kepada seluruh warga Jabatan Penjara yang masih berkhidmat di jabatan berkenaan agar terus berusaha lebih gigih dan tidak berputus asa demi mencapai kecemerlangan dalam apa jua tugasan yang dijalankan.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pekerja Cemerlang, Wadar Wanita 640 Dayang Linyafizah binti Maidin, ketika ditemui turut melahirkan rasa kesyukurannya atas penganugerahan yang diberikan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ibu, suami, anak-anak dan keluarganya yang menyokong serta memahami tugas dan kerjayanya selama ini.

“Penganugerahan pada hari ini merupakan antara pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan sejak bekerja di Jabatan Penjara 16 tahun yang lalu,” kata Dayang Linyafizah.

Beliau yang ketika ini bertugas di Bahagian Pengawalan Keselamatan berazam akan meningkatkan lagi prestasi kerja dan disiplin diri dalam menjalankan tugasnya. Selain itu, beliau turut mengongsi rahsia kejayaan yang diperolehnya, antara lain sentiasa mematuhi segala peraturan di jabatan berkenaan selain menanam sikap jujur, ikhlas dan mengikuti segala arahan yang diberikan.

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau berharap semua warga di Jabatan Penjara agar dapat memantapkan lagi disiplin dalam menjalankan sebarang tugasan yang diamanahkan pada masa akan datang.