Sentiasalah bersikap terbuka

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Lebih 30 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Perniagaan telah menyertai Program Belia Hebat yang diungkayahkan oleh Dynamic Action Group (DAG) di bawah Program Eksekutif Muda (YEP), hari ini.

Program yang telah diadakan di kampus berkenaan mengetengahkan beberapa sesi iaitu Ice Breaking, Energizer 1, Reach the Star, sesi perkongsian, The Strayholders dan sesi perkongsian Bentuk Rebung Keusahawanan

Sesi perkongsian semasa program berkenaan telah menampilkan salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa pada sesi perkongsiannya itu menyentuh mengenai pengalaman beliau semasa pengajiannya dulu dan bagaimana minat kesukarelawanan beliau berkembang.

Menurut Yang Berhormat, rezeki datang dalam pelbagai cara dan bentuk yang berbeza dan para belia sentiasa diseru untuk sentiasa bersikap tidak berputus asa dan berusaha dalam mencapai cita-cita masing-masing selain bersikap terbuka untuk mencuba perkara yang baru.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa semasa menyampaikan kata-kata nasihat pada sesi perkongsian.
Antara para peserta yang menyertai program tersebut.

Beliau juga mengongsi model peranan beliau iaitu ibu bapanya yang menurut beliau, membantu dan mendidik serta sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada beliau dalam apa jua yang dilakukan seperti kesukarelawanan dan sebagainya.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa kemudian menasihatkan para peserta dan belia-belia khususnya untuk sentiasa mempunyai sifat rendah diri dan sentiasa bersifat terbuka serta rajin untuk meminta pandangan dan pendapat daripada orang lain dalam apa jua yang ingin dilakukan.

Kumpulan DAG terdiri daripada gabungan tujuh orang pegawai kerajaan yang mempunyai latar belakang berbeza dari pelbagai kementerian yang mengikuti YEP Kohot-1 yang terpilih di bawah Civil Service Leadership Pipeline (CSLP), iaitu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahli-ahlinya ialah Setiausaha Kedua di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Haji Abdul Rashid bin Haji Damit; Pegawai Foto, Jabatan Penerangan, JPM, Awang Muhammad Azmi bin Damit; Pegawai Kerja, Kementerian Pendidikan, Dayang Siti Azierah Nurul Hafizah binti Mohammed Baharudin; Pegawai Pentadbir Tingkat 1, JPM, Dayang Fathin Mahfuzah binti Haji Abdul Manap; Pegawai Pentadbir Tingkat 1, Jabatan Perkhidmatan Awam, JPM, Dayang Faadzilah binti Haji Abdul Rahim; Pegawai Ekonomi, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Awangku Mohd Faizal Akhbar bin Pengiran Salleh dan Pegawai Kaji Selidik, Kementerian Pertahanan, Awang Abdul Azim bin Haji Abdul Kassim

Program berkenaan bertujuan untuk mendedahkan peserta mengenai kualiti kepimpinan dan menerapkan semangat kemasyarakatan dalam pemikiran belia untuk menyumbang balik kepada negara tercinta.

Ia juga diharapkan akan dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertukaran minda dan untuk menyuntik semangat para belia khususnya para pelajar ke arah melakukan perubahan minda yang mengutamakan rasa tanggungjawab terhadap masa depan mereka.

DAG dalam usaha untuk berkongsi ilmu dan membantu belia-belia Brunei terutama dalam meningkatkan keupayaan dan potensi diri belia-belia, akan terus giat mengadakan Program Belia Hebat pada masa akan datang.