Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Sentimen perniagaan April lebih optimistik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Sentimen perniagaan bagi bulan April 2022 secara amnya optimistik kerana ekonomi dijangka terus pulih secara beransur-ansur daripada impak gelombang ketiga COVID, dengan sub indeks utama iaitu keadaan perniagaan pada 50.3, kenaikan ketujuh berturut-turut sejak Oktober 2021 daripada Indeks Sentimen Perniagaan (BSI).

    Para peniaga menjangkakan peningkatan dalam permintaan dan produktiviti memandangkan pengurangan dalam jumlah pekerja yang dikenakan perintah kuarantin; peningkatan projek dan aktiviti serta peningkatan jualan kereta baru dan tiket penerbangan yang semakin memberangsangkan berikutan pembukaan semula sempadan bermula 1 April 2022.

    Indeks bagi Keadaan Perniagaan Satu Bulan ke Hadapan pula adalah 50.4. Ini mencerminkan jangkaan positif di kalangan perniagaan mengenai peningkatan jualan dengan adanya promosi-promosi menjelang Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei 2022, serta pelonggaran terhadap sekatan COVID-19 di masa akan datang.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menekankan peningkatan sentimen perniagaan itu dalam kenyataan yang disiarkan di sini mengenai terbitan BSI bulan April 2022.

    Menurut BDCB, indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 600 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi, dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Manakala Sub-indeks Pelaburan adalah 49.9 bagi bulan April 2022, 50.4 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.3 bagi tiga bulan ke hadapan. Ini menunjukkan secara keseluruhan, para peniaga menjangkakan pengurangan dalam aktiviti pelaburan dan inventori pada bulan April 2022 berbanding bulan sebelumnya memandangkan sebahagian besar daripada aktiviti pelaburan telah dilaksanakan pada suku pertama tahun ini.

    Walau bagaimanapun, beberapa peniaga merancang untuk meningkatkan perbelanjaan pelaburan pada bulan yang akan datang yang antara ainnya adalah untuk pembukaan cawangan baharu; pengubahsuaian dan menaik taraf premis perniagaan; serta pembelian dan penggantian mesin dan peralatan.

    Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.1 bagi bulan April 2022, dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan. Ini menunjukkan secara keseluruhannya, para peniaga berhasrat untuk menambah tenaga kerja pada bulan April 2022 dan seterusnya meningkatkan lagi pengambilan pekerja pada bulan Mei 2022.

    Sub-indeks Kos adalah 50.3 bagi bulan April 2022, dan dan 50.0 bagi satu bulan ke hadapan. Ini menunjukkan para perniagaan menjangkakan kos perniagaan akan meningkat berbanding bulan Mac 2022, dan akan terus meningkat pada bulan Mei 2022. Sebahagian perusahaan menjangkakan peningkatan dalam perbelanjaan untuk aktiviti pemasaran pada bulan April 2022 serta pembayaran gaji dan komisen kepada pekerja-pekerja berikutan jangkaan peningkatan dalam jualan di masa yang terdekat.

    Secara amnya, tahap sentimen dari segi indeks mengikut saiz perusahaan telah bertambah baik pada bulan April 2022 berbanding bulan sebelumnya. Perusahaan bersaiz mikro dan besar telah melaporkan peningkatan berikutan aktiviti perniagaan yang kian meningkat dengan penambahbaikan keadaan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, perniagaan bersaiz kecil dan sederhana melaporkan penguncupan berikutan kelembapan aktiviti perniagaan pada bulan Ramadan, di samping cabaran yang melibatkan logistik dan tenaga pekerja.

    BSI dinilai berdasarkan di atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik / Sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya. Manakala bagi nilai BSI 50 pula menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai BSI di bawah 50 menunjukkan keadaan yang merosot / Sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...