Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Sentimen perniagaan firma Jepun di Malaysia dijangka terus meningkat

    KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Pertumbuhan sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia dijangka terus meningkat pada separuh kedua 2022 sebagaimana dapatan kaji selidik Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim).

    Presidennya, Daiji Kojima berkata kaji selidik dwitahunan dalam kalangan 557 ahli Jactim bagi tempoh 19 Jan-21 Feb, 2022, menunjukkan Indeks Sebaran Sentimen Perniagaan (DI) diunjur meningkat kepada 20.5 mata, sekali gus meneruskan aliran positifnya daripada separuh pertama 2022.

    “DI sentimen perniagaan Jepun bagi separuh pertama 2022 meningkat secara mendadak sebanyak 30 mata kepada +9.4 mata, bertukar positif selepas berada dalam wilayah negatif selama lapan penggal dan tertinggi sejak separuh pertama 2018 akibat kelonggaran sekatan pergerakan. Ini terutamanya susulan pembukaan semula sebahagian besar sektor-sektor ekonomi dan peningkatan permintaan dalam sektor semikonduktor,” katanya kepada Bernama.

    Kaji selidik secara dalam talian itu melibatkan 234 respons merangkumi 140 syarikat dalam sektor pembuatan dan 94 syarikat bukan pembuatan.

    Sementara itu, Penasihat Umum Jactim merangkap Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun Kuala Lumpur (Jetro KL) Mai Onozawa memberitahu Bernama, lebih banyak syarikat-syarikat Jepun yang membuat pertimbangan untuk berkembang di Malaysia berbanding tahun lepas.

    Menurutnya, tinjauan berasingan oleh Jactim dan Jetro KL mengenai keadaan perniagaan syarikat Jepun, menunjukkan aspek kecekapan pekerja bertutur dalam bahasa Inggeris serta persekitaran hidup yang baik, ternyata mendahului senarai daya tarikan Malaysia bagi tujuan pelaburan jangka sederhana hingga panjang dalam kalangan pelabur Jepun.

    “Sentimen perniagaan ini didorong oleh perkembangan perniagaan baharu dalam sektor elektrikal dan elektronik, pengembangan kenderaan elektrik dalam industri automotif dan pertumbuhan pasaran borong serta runcit,” katanya.- Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...