Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sentimen perniagaan kekal optimistik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Para peniaga di Negara Brunei Darussalam berpandangan optimistik terhadap keadaan perniagaan pada Jun 2022 dengan Sub-Indeks Keadaan Perniagaan, iaitu indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), mencatatkan 50.3 bagi bulan berkenaan.

    Berdasarkan BSI Negara Brunei Darussalam bagi Jun 2022 yang dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini, sentimen tersebut kebanyakannya didorong oleh sektor minyak dan gas dan yang berkaitan yang menjangkakan prestasi yang lebih baik dengan harga minyak global yang tinggi.

    Bagi sektor-sektor yang lain pula, secara amnya, keadaan perniagaan dijangka akan bertambah baik dengan peningkatan dalam pengeluaran, jualan, jumlah projek serta aktiviti perniagaan.

    Terdapat sebahagian perniagaan yang me-ngalami keadaan yang lebih lembap berbanding dengan bulan sebelumnya. Indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan adalah di tahap 50.1, di mana responden kekal optimistik mengenai keadaan perniagaan dengan acara-acara perayaan yang akan diadakan pada Julai.

    Indeks berkenaan adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi, dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    BSI yang mempunyai sembilan sub-indeks bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di negara dalam berbagai-bagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk utama makroekonomi.

    Secara ringkasnya, Sub-indeks Pelaburan di tahap 50.4 bagi Jun 2022, 50 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.6 bagi tiga bulan ke hadapan. Ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan, para peniaga dijangka akan meningkatkan tahap pelaburan mereka pada bulan Jun, selaras dengan jangkaan peningkatan aktiviti perniagaan dan pemerolehan projek-projek baharu.

    Sub-indeks Pengambilan Pekerja pula di tahap 50.2 bagi Jun 2022, dan 50.2 bagi satu bulan ke hadapan, yang secara am menunjukkan para peniaga merancang untuk mengambil pekerja-pekerja baharu pada Jun dan Julai untuk menggantikan pekerja tempatan yang telah meletakkan jawatan dan juga pekerja-pekerja asing yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan.

    Sub-indeks Kos di tahap 50.4 bagi Jun, dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan. Ini menunjukkan bahawa, secara am, para peniaga menjangkakan kos menjalankan perniagaan yang lebih tinggi pada bulan Jun dan Julai 2022 berbanding dengan bulan Mei 2022.

    Dari segi sektor ekonomi, lapan daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada Jun 2022 yang mana sektor pengangkutan dan komunikasi terus menunjukkan kenaikan indeks yang tertinggi, didorong oleh jangkaan peningkatan aktiviti penerbangan dengan kelonggaran sekatan sempadan melalui udara. Di samping itu, sektor minyak dan gas dan yang berkaitan menjangkakan peningkatan pendapatan dengan harga minyak yang tinggi.

    Sektor kesihatan dan pendidikan dan sektor perkhidmatan lain turut mencatatkan sentimen optimistik dengan pelonggaran sekatan, projek-projek baharu serta acara dan aktiviti yang diadakan pada bulan Jun 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...