TIN kosong mungkin tiada nilai bagi individu lain namun tidak bagi Riyad Ahmad, 20 yang obses mengumpul barangan itu kerana meminati item vintaj atau boleh dikategorikan antik. Baginya, tin atau apa jua barangan lama lain mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana tidak dikeluarkan lagi di pasaran.
Disebabkan itu, dia gemar mencari barangan lama dan jika bukan untuk menambah koleksi peribadi, barangan berkenaan akan dijual kepada mereka yang berminat. “Sejak berumur empat tahun saya kerap mengikut ayah mencari barangan terpakai serta antik dan lama-kelamaan timbul minat untuk mempunyai koleksi peribadi.
“Pada mulanya, saya sekadar mengumpul setem kemudian beralih kepada beg, tin, penutup botol dan radio lama. Kiranya, saya mewarisi minat itu daripada ayah, Ahmad Ali dan itu yang menjadikan hubungan kami berdua rapat,” katanya yang juga penuntut Diploma Pengurusan Logistik, Kolej Antarabangsa Cybernatics, Puchong, Selangor.
Sokongan keluarga
Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui harga barangan lama tidak menentu kerana sebahagian dibeli dengan harga murah dan mencecah ribuan ringgit. Bagaimanapun, Riyad berkata, dia beruntung kerana mempunyai keluarga yang menyokong dan kadangkala membantunya membeli barangan berkenaan. “Bila sebut mengenai hobi mengumpul, ramai kata membazir namun tidak bagi saya kerana sebahagian barangan itu dijual semula secara dalam talian.
“Dengan cara itu, saya dapat duit poket yang secara tidak langsung meringankan beban ibu dan ayah. Lagipun, saya masih belajar dan banyak wang diperlukan untuk menampung perbelanjaan harian yang merangkumi makanan dan keperluan untuk menyiapkan tugasan,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor.
Menurut Riyad, buat masa ini, dia masih tidak jemu sebaliknya seronok kerana hobi itu banyak memberi kepuasan selain mengisi masa terluang.
Malah, bagi Riyad, sebagai generasi muda, dia menganggap hobi mengumpul itu sebagai cara untuk menghargai barangan lama.
“Dalam banyak-banyak koleksi, saya paling suka tin dan juga radio lama. Namun bagi saya, apa juga barangan antik tetap istimewa. Bak kata orang, tiada lama, tiadalah yang baru jadi menjadi tanggungjawab generasi muda untuk menyimpan dan menjaganya dengan baik.
“Sekurang-kurangnya, saya dapat belajar beberapa perkara baru dengan berkongsi pengetahuan dengan mereka yang mempunyai minat sama,” katanya. – Agensi