Sentuhan inovasi tersendiri kulinari tiga usahawan jejaka

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Kredibiliti kaum maskulin dalam meniti dunia kulinari tidak dapat disangkal lagi, bahkan mereka semakin terus mengorak langkah dalam pentas industri gastronomi tanah air dengan penuh berani sehingga mampu menjadikan hasil air tangan mereka sebagai platform perniagaan atau keusahawanan.

Siapa sangka, hanya dengan keinginan hati yang tulus untuk mencuba salah satu kek kegemaran peribadi semasa berada di United Kingdom suatu ketika dahulu telah menjadikannya kini sebagai usahawan pembuatan kek keju bersama dua orang sahabat karibnya yang semakin dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Dihasilkan dengan kasih sayang. Itulah yang sentiasa kami semai dalam diri dan jiwa ini untuk menghasilkan setiap sentuhan kek keju untuk para pelanggan yang kami sayangi,” kata yang diungkapkan oleh tiga usahawan jejaka tanah air yang mengetengahkan perniagaan pembuatan kek keju mereka, Awang Muhammad Zulfadli @ Ahmad Wa’ie Zulfadli bin Haji Waliuddin, bersama dua orang ahli yang lain, Haji Mohammad Farkhan bin Haji Johan dan Awang Mohammad Alizam bin Zainal di bawah platform dalam talian yang dikenali dengan nama The Baking Brothers, semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata, baru-baru ini.

Aneka rasa memukau cita rasa

Menariknya, hidangan pencuci mulut yang terdiri daripada gabungan adunan bahan-bahan seperti mentega, gula dan krim keju sehingga mewujudkan tekstur kek yang lembut itu ditampilkan dengan variasi pilihan topping yang pastinya mampu memukau cita rasa para penikmatnya.

Dalam 10 tahun menjejaki dunia perniagaan pembuatan kek di negara ini, tiga orang insan berjiwa keusahawanan ini menjelaskan bahawa selain kek keju klasik, mereka juga mengetengahkan dua jenis perasa topping yang lain iaitu Cookies and Cream dan juga Cinnamon Spice.

“Bermula dengan hanya membukakan tempahan setahun sekali pada mulanya lebih-lebih lagi apabila Sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun kini sambutan daripada masyarakat di negara ini dilihat semakin menggalakkan. Syukur kepada Allah SWT di atas limpahan rezeki ini,” ujar Awang Ahmad Wa’ie Zulfadli dengan penuh ketulusan.

ATAS & BAWAH : Menurut tiga usahawan jejaka ini, menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing serta pembahagiaan tugas ketika menyiapkan tempahan, membuatkan mereka sentiasa bangkit berjuang bersama meskipun kadang kala penat lelah mewarnai diri dalam meniti dunia perniagaan. – Gambar serahan Awang Muhammad Zulfadli @ Ahmad Wa’ie Zulfadli

Menariknya, hidangan pencuci mulut yang terdiri daripada gabungan adunan bahan-bahan seperti mentega, gula dan krim keju sehingga mewujudkan tekstur kek yang lembut itu ditampilkan dengan variasi pilihan topping iaitu Cookies and Cream dan juga Cinnamon Spice, selain kek keju klasik yang pastinya mampu memukau cita rasa para penikmatnya.

Pentingnya kreativiti tersendiri

Dalam pada itu, Haji Mohammad Farkhan turut mengungkapkan bahawa daya kreativiti dan keunikan dalam mempelbagaikan pembuatan hidangan yang menarik, itulah merupakan antara aspek terpenting yang sentiasa dikembangkan dalam menerokai dunia keusahawanan kulinari dalam talian ini.

“Lebih menyeronokkan lagi, dalam menghasilkan sentuhan dalam dunia kulinari sebegini, kita dapat menghasilkan gaya kreativiti dan inovasi yang tersendiri seperti mempelbagaikan perasa-perasanya dengan diserikan dengan juga rekaan indah. Inilah yang menjadikannya lebih istimewa serta keunikan sehingga mampu mencetus trademark yang tersendiri,” ujarnya lagi dengan penuh keyakinan.

Bangkit dan berjuang bersama

Dalam meniti dunia perniagaan bersama, Awang Mohammad Alizam menyatakan semangat kerjasama dan komitmen itu perkara yang sentiasa kami semai dalam diri ini. Menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing serta pembahagiaan tugas ketika menyiapkan tempahan, itulah yang membuatkan kami sentiasa bangkit berjuang bersama meskipun kadang kala penat lelah mewarnai diri.

“Sudah semestinya dalam menyediakan masakan, perlulah menitikberatkan kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resepi termasuklah adunan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri. Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin untuk para pelanggan dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.

Keikhlasan niat menjadi keutamaan

Walaupun terlalu ramai persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan tiga bersahabat ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk dengan sebaik-baiknya.

“Niat yang ikhlas dalam menyiapkan setiap tempahan para pelanggan itu adalah perkara yang terpenting yang sentiasa kami semai dalam hati dan jiwa dalam meniti dunia perniagaan ini.

Semuanya demi mengharapkan keberkatan rezeki dari Allah SWT,” ujar mereka dengan penuh ketulusan yang turut memiliki perancangan untuk mencipta dua jenis pilihan perasa istimewa terbaharu iaitu Rose dan Onde-onde semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.