Sentuhan kreatif daripada tanah liat polimer

Oleh Nurdiyanah R.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, merupakan pepatah Melayu yang sentiasa tersemat di jiwa insan seni kreatif ini sehingga membawanya ke dunia keusahawanan sampingan tanpa rasa jemu untuk meningkatkan prestasi perekonomian diri dan keluarga meskipun arus gelombang persaingan sentiasa melanda.

Apa yang pasti, pelbagai produk kreatif sentiasa dihasilkan dengan gabungan idea-idea yang menakjubkan serta gaya kreativiti yang begitu indah dan menarik mata yang memandangnya.

“Menceburi dunia seni kraf tangan kreatif ini sememangnya bermula sebagai hobi semata-mata, namun kecintaan terhadap seni ini semakin bersemarak dalam jiwa saya apabila berpeluang mengikuti kursus rekaan dan seni lukis semasa mengikuti pengajian di Universiti Brunei Darussalam beberapa tahun lalu.”

“Semestinya keseronokan dan kepuasan yang dapat saya rasai apabila berjaya mencipta sesuatu barangan dengan penuh keunikan, lebih-lebih lagi ia mampu menggembirakan hati seseorang termasuklah para pelanggan saya,” menurut Dayang Sabrina binti Mohammad Daud, usahawan yang semakin aktif dalam menciptakan pelbagai aksesori wanita di bawah jenama Scarlet, dengan kreativiti tersendiri menggunakan bahan asas dari tanah liat polimer semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Sentuhan aksesori wanita indah

Indah dan penuh keunikan tersendiri, itulah dapat diungkapkan apabila penulis menyaksikan pelbagai produk atau barangan aksesori wanita seperti cincin, gelang, buah rantai dan anting-anting yang dihasilkan oleh Dayang Sabrina.

Bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah pepatah Melayu yang sentiasa tersemat dalam hati insan berjiwa seni kreatif, Dayang Sabrina selaku salah seorang usahawan wanita tanah air semakin aktif dalam menciptakan pelbagai barangan aksesoris wanita dengan daya kreativiti tersendiri menggunakan salah satu bahan asas tanah liat polimer semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Indah dan penuh keunikan yang tersendiri, itulah pelbagai produk atau barangan aksesoris wanita seperti cincin, gelang, buah rantai dan anting-anting yang dihasilkan oleh Dayang Sabrina yang pastinya dihasilkan dengan penuh ketelitian.
Selain itu, Dayang Sabrina turut mencurahkan sentuhan daya kreativiti kraf tangannya menerusi beberapa koleksi penanda buku menggunakan bahan asas dari tisu-tisu yang memiliki corak penuh warna-warni dengan proses-proses tertentu.

Dengan menggunakan salah satu bahan asas utama iaitu tanah liat polimer, beliau yang kini berusia 26 tahun, menjelaskan pembuatan seni kraf tangan itu tidaklah rumit namun memerlukan ketelitian ketika menjalankan proses-proses pembuatannya antaranya teknik merata, mengukur dan membentuk rekaan.

“Dalam menghasilkan sesuatu ciptaan barangan, daya kreativiti memainkan peranan yang sangat penting seperti pemilihan gabungan warna-warna cat untuk menghasilkan barangan yang dilihat ‘biasa-biasa’ menjadi ‘luar biasa’,” tambahnya lagi yang turut menggunakan bahan-bahan lain seperti koleksi cat akrilik yang berwarna-warni, gam dan mesin khusus untuk merata dan juga ketuhar untuk sesi membeku atau mengeraskan tanah liat polimer berkenaan.

Mencurahkan ilmu kemahiran bersama

Dalam meniti dunia keusahawanan ini, Dayang Sabrina juga semakin bersemangat untuk mencurahkan ilmu dan kemahiran seni kerajinan tangan yang beliau usahakan ini kepada insan-insan yang berminat.

“Berdirinya saya sehingga sekarang semestinya atas sokongan dan dorongan yang sangat kuat daripada insan-insan yang amat saya sayangi iaitu suami, anak dan ahli keluarga yang lain,” ujarnya yang kini menjalankan perniagaan menerusi platform media sosial Instagram dengan rasa kegembiraan.

Serlahkan produk ciri khas tersendiri

Dalam pada itu, Dayang Sabrina yang merupakan salah seorang alumni mahasiswi jurusan Sarjana Muda Sains dalam bidang Matematik turut menasihatkan orang ramai di negara ini agar jangan takut untuk mencuba dan tidak berputus asa, di samping sentiasa memohon kerahmatan daripada Allah SWT dalam kehidupan seharian.

“Itulah kunci segalanya yang perlu kita pegang sampai bila-bila dalam kita menerokai pelbagai bidang keusahawanan meskipun bermula secara kecil-kecilan. Namun apa yang penting juga ialah ciptalah sesuatu produk atau barangan dengan nilai kreativiti dan keunikan agar kita dapat menghasilkan ciri khas yang tersendiri,” saranan beliau dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita berjuang dalam memartabatkan hasil produk atau barangan kraf tangan tempatan yang sememangnya merupakan suatu hiliran yang mampu berdaya saing dan berpotensi sebagai pemangkin perkembangan ekonomi negara secara amnya. Dalam pada itu, ia juga sekali gus merealisasikan Wawasan Negara 2035 dalam mencapai ekonomi yang mapan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan gas agar prestasi negara kita dapat ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan negara-negara maju yang lain.