Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Sentuhan kreatif seni graffiti yang unik dan menakjubkan

Oleh Lenna N.B.

 

SENI grafiti sering dikaitkan dengan lakaran atau tulisan di atas dinding. Sesetengah masyarakat meletakkan label seni ini sebagai vandalisme atau perosak harta benda awam. Namun, seni ini mempunyai pengertian dan nilai seni yang lebih bererti. Mengimbas kepada sejarahnya, seni grafiti ternyata sudah bermula sejak zaman primitif lagi, apabila manusia melakar lukisan atau perkataan tertentu di permukaan dinding gua seakan hendak menyampaikan sesuatu atau sebagai catatan-catatan peristiwa atau mungkin alat komunikasi antara manusia sebelum munculnya manusia mampu berbahasa.

Ratusan tahun lalu, seni grafiti digunakan oleh para karyawan untuk menulis bait-bait puisi dengan kata-kata puitis untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pemerintah, ketidakadilan, serta penderitaan yang dihadapi oleh golongan bawahan. Justeru itulah, ia berkembang sebagai seni jalanan yang dilakukan oleh mereka yang hidup merempat. Ada juga mengaitkan grafiti dengan contengan perkataan-perkataan hina, lucah atau cacian. Imej negatif sering dikaitkan dengannya kerana bentuk seni yang bersifat jalanan, murah atau lakaran di atas dinding semata-mata.

Sebalik imej negatif itu, muncullah artis-artis dari pelbagai latar mengangkat seni grafiti ke arah imej yang lebih positif. Kini, ia bukan sekadar luahan ketidakpuasan terhadap sesuatu, tetapi berkembang menjadi seni dinding yang mempunyai keindahan dan keunikkannya tersendiri. Kota-kota seluruh dunia seperti New York di Amerika Syarikat, Berlin di Jerman, London di England, Melbourne di Australia, Taheran di Iran, Kuala Lumpur di Malaysia, Yogyakarta di Indonesia dan banyak lagi kota-kota yang lainnya telah menjadikan seni grafiti sebagai sebahagian daripada keindahan kota. Ia lebih kepada ekspresi seorang artis seni ke atas dinding sama ada berbentuk kata-kata, seni rupa atau warna, untuk dikongsikan kepada penghayatnya atau sebagai tatapan umum.

Pertandingan Grafiti

Pada baru-baru ini, STAIN, sebuah syarikat tempatan yang ditubuhkan dengan visi untuk platform artis-artis seni, telah mengelolakan Pertandingan Seni Grafiti Borneo Terbesar ‘Write This’ 2017 atau dalam bahasa Inggerisnya, Write This Borneo’s Biggest Graffiti Art Competition selama tiga hari berturut-turut, bermula dari 21 Julai 2017 hingga 23 Julai 2017 yang menjemput tiga juri antarabangsa, Suiko dari Japan, Slac dari Singapura dan Hard’13 dari Indonesia.

Para peserta bergambar ramai bersama para juri dan penganjur acara.
Para peserta bergambar ramai bersama para juri dan penganjur acara.
Kereta api replika dibangunkan untuk menjadi platform menampilkan karya grafiti gabungan daripada Slac dari Singapura dan Hard’13 dari Indonesia.
Kereta api replika dibangunkan untuk menjadi platform menampilkan karya grafiti gabungan daripada Slac dari Singapura dan Hard’13 dari Indonesia.
Slacsatu, juri Pertandingan Seni Grafiti WRITE THIS 2017 dari Singapura ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.
Slacsatu, juri Pertandingan Seni Grafiti WRITE THIS 2017 dari Singapura ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.

Tahun ini, adalah penganjuran yang kedua kali oleh STAIN untuk menjalinkan silaturrahim serta menyatu padukan penggiat-penggiat seni grafiti dan artis-artis antara satu sama yang lain dalam mempamerkan karya-karya mereka, disamping menyertai pertandingan tersebut dengan mengetengahkan gaya seni tersendiri, keaslian, kreativiti dan kemahiran teknikal.

Melalui pertandingan ini, bukan sahaja mencetuskan kemunculan artis-artis tempatan tetapi juga artis-artis seni grafiti dari seluruh Borneo dan Semenanjung Malaysia. Antara peserta dikenali dengan nama pena mereka, Budi’One, Drips, Duke, Dope’One, Gob’One, Jest, Kymia, Nerdink, P’Nut, Reyna, Sketch’One, SPQ, Syck’Two, Taser & Trank, Amey dari Sarawak, Cracko dari Sabah, Dean.R juga dari Sarawak, Mytho dari Ipoh, dan Phey dari Sabah.

“Acara ini adalah acara tahunan, bukan berdasarkan untuk mendapatkan keuntungan, melainkan membina platform komuniti untuk para artis grafiti dengan aktiviti atau budaya yang sihat. Disamping membuka mata orang awam, bagaimana seni ini bergerak secara positif dan membina,” ujar Fai, atau terkenal dengan nama grafitinya, Tag01, pengasas sebalik syarikat STAIN ketika ditemu ramah Media Permata pada baru-baru ini.

Pertandingan ini mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat dan agensi tempatan antaranya adalah Progresif, MTN Colors, Golden Tree, Swee, Bruneihalalfood, Origin Artistic, Rainfresh, Wardrobes Inc, Grill Studio, Nuk Car Wash, HSC, Kuro Bikers, Madsuki Design Initiative, Fizzi Fire dan JLN Artwear.

Antara karya-karya grafiti daripada para peserta semasa pertandingan.
Antara karya-karya grafiti daripada para peserta semasa pertandingan.
Turut membentuk imej kartun, antara seni grafiti yang agak menarik sekitar acara.
Turut membentuk imej kartun, antara seni grafiti yang agak menarik sekitar acara.
Karya seni grafiti Suiko dari Japan, di atas permukaan dinding replika kereta api.
Karya seni grafiti Suiko dari Japan, di atas permukaan dinding replika kereta api.

Proses pertandingan

Pertandingan WRITE THIS 2017 ini dilangsungkan di Taman Budiman, Stadium Sultan Hassanal Bolkiah di mana dinding-dinding hitam telah didirikan untuk dilakar dengan semburan cat. Pertandingan bermula pada hari pertama dengan pusingan kelayakan melakar perkataan ‘IM’PRO’, melambangkan semangat dan jiwa belia yang progresif.

Seterusnya, di peringkat suku akhir, para peserta diberi perkataan ‘UNITY’ membawa erti perpaduan, iaitu melambangkan syarikat Swee sendiri. Diikuti pada pertandingan separuh akhir, dengan perkataan ‘CORDIA’ diberikan oleh Brunei Halal melambangkan alam semulajadi, dan seterusnya peringkat akhir, perkataan ‘ORIGIN’ dan ‘STAIN’ melambangkan syarikat STAIN sendiri.

Setiap peserta dinilai berdasarkan gaya lakaran mereka, keaslian, kreativiti, penggunaan warna, pembentukkan perkataan dan teknik semburan cat. Dari 20 peserta, hanya tiga sahaja terpilih sebagai pemenang. Disamping dinilai oleh tiga juri antarabangsa, dua juri lagi terdiri daripada artis tempatan, Fai, pengasas Syarikat STAIN sendiri dan artis grafiti, Nycer, pemenang pertandingan WRITE THIS 2016.

Pemenang pada pertandingan tahun ini adalah terdiri daripada Budi’01 sebagai juara, Nerdink berada di kedudukan naib juara dan tempat ketiga adalah Sketch’01. Pemenang juara berpeluang membawa pulang Huawei P10, tajaan Progessif.

Pernilaian berdasarkan teknik pembentukan perkataan dan semburan cat.
Pernilaian berdasarkan teknik pembentukan perkataan dan semburan cat.
Suiko dari Japan turut beraksi semasa acara WRITE THIS 2017 sedang berlangsung.
Suiko dari Japan turut beraksi semasa acara WRITE THIS 2017 sedang berlangsung.
Tiga pemenang pertandingan Sesi Grafiti WRITE THIS 2017.
Tiga pemenang pertandingan Sesi Grafiti WRITE THIS 2017.
Seni grafiti adalah seni menggunakan semburan cat ke permukaan dinding.
Seni grafiti adalah seni menggunakan semburan cat ke permukaan dinding.

“Alhamdullillah, acara berjaya berjalan dengan lancar, dengan penyertaan artis-artis tempatan dan negara jiran yang kebanyakkannya terdiri daripada belia dari 18 tahun hingga 35 tahun. Dalam pertandingan ini, bukan sahaja grafiti dilihat sebagai aktiviti seni yang sihat, tetapi peluang para artis bertemu, dan berkongsi pengalaman. Malah, melihat bagaimana seni grafiti menjadi satu hasil seni yang bernilai dan bererti,” tambah Fai, penganjur acara.

Juri antarabangsa mempamerkan karya grafiti

Turut menarik adalah apabila tiga artis antarabangsa, Suiko, Slacsatu dan Hard’13 mempamerkan persembahan secara langsung melakarkan karya grafiti mereka di Taman Budiman, masing-masing dengan hasil seni dan kreativiti mereka yang istimewa. Kereta api replika khas telah dibangunkan untuk para juri tersebut menyumbangkan kreativiti mereka sepanjang acara.

Bagi kebanyakkan peserta, inilah peluang mendekati artis-artis dari luar negara, disamping mendapatkan inspirasi daripada hasil tangan mereka. STAIN selaku syarikat penganjur percaya melalui peluang seperti ini akan meningkatkan semangat mereka untuk terus berkarya, dan seterusnya menjadi pendorong kepada perkembangan bidang seni.

“Tahun ini adalah tahun ke dua saya berada di sini dan ternyata tahun ini cukup meriah dengan lebih banyak kemunculan wajah-wajah baru. Orang Brunei ternyata mempunyai bakat. Walaupun grafiti bergerak secara kecil atau sekadar hobi, tetapi melihat sukarela mereka, perpaduan mereka dan semangat menjadikan acara ini begitu istimewa. Saya gembira berada di sini menjadi juri jemputan,” ucap Slacsatu, dari Singapura ketika ditemu ramah Media Permata.

“Dalam seni ini mungkin banyak cabaran tetapi selagi kita berada di tempat yang betul dengan cara yang sihat, insyaAllah, seni ini dapat diperkembangkan. Yang penting, tidak berputus asa untuk terus progresif, berkembang, dan sentiasa berhubung dengan persekitaran kita,” ucap Fai, Penganjur Pertandingan WRITE THIS 2017 di hujung temu ramah.

Artikel sebelum iniHindari najis dadah
Artikel seterusnyaBank Baiduri kukuhkan kedudukan
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -