Sentuhan ‘magis’ Solskjaer

LONDON, 3 Jan – Ole Gunnar Solskjaer memberikan Manchester United empat kemenangan daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Newcastle bagi merapatkan kedudukan dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, yang seri di laman sendiri menentang Southampton.

United terus meningkat sejak bekas penyerang itu menggantikan tugas Jose Mourinho, menjaringkan 12 gol dalam tiga perlawanan pertamanya selaku pengendali sementara namun terpaksa bekerja keras untuk menang 2-0 di hadapan skuad penuh disiplin, Newcastle di St Jame’s Park.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga keenam liga dengan 38 mata, ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dan enam di belakang Chelsea.

Pemain gantian, Romelu Lukaku memecahkan kebuntuan hanya selepas 38 saat dimasukkan pada pertengahan separuh masa kedua, menyambar bola yang ditepis oleh penjaga gawang Newcastle, Martin Dubravkja selepas percubaan menerusi sepakan percuma Marcus Rashford, sementara Rashford sendiri memastikan mata penuh pada minit ke-80.

Manchester United menguasai bola tetapi gagal membolosi pertahanan Newcastle hingga menyebabkan Solskjaer memasukkan Lukaku dan Alexis Sanchez selepas sejam perlawanan.

Lukaku (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya setelah menjaringkan gol ketika menentang Newcastle United pada saingan Liga Perdana Inggeris di St James’ Park, kelmarin. – AP

Pertukaran itu membuahkan hasil segera dengan pengurus sementara itu gembira meskipun ia hanya adalah kemenangan tanpa bolos ketiga musim ini di Liga Perdana Inggeris.

“Akhirnya kami tidak dibolosi. Persembahan yang profesional.

“Kami tidak mencapai apa yang kami boleh lakukan tetapi kami mengawal, terus menyerang dan mendapat gol,” kata Solskjaer kepada Sky Sports.

“Sentuhan pertama yang bagus daripada pemain simpanan.

“Apabila anda lihat Romelu Lukaku berlari ke arah anda, sebagai penjaga gol anda mungkin akan menjauhkan diri.

“Kami agak longgar pada separuh masa pertama, ia memang terbukti, terlalu banyak hantaran.” – AFP