Seorang cedera dalam kejadian kebakaran

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Enam buah bilik terjejas dalam kejadian kebakaran yang berlaku di STKRJ Kampung Perpindahan Lambak Kiri, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini, seramai 12 orang anggota bomba yang diketuai oleh DSO Haji Mohammad Noor bin Haji Ahad dari Balai Bomba Lambak Kanan dan bantuan tenaga dari Balai Bomba Rimba dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 1:21 petang.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati api membakar di tingkat atas rumah yang melibatkan dua buah bilik tidur dan empat buah bilik tidur lagi di tingkat bawah mengalami kerosakan disebabkan air.

Anggota bomba bertindak memakai alat pernafasan dan seterusnya masuk ke dalam rumah bagi memadam kebakaran dengan menggunakan tiga jet hos di mana air diperolehi daripada pili-pili bomba yang berdekatan dan jentera bomba. Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit.

Seramai 14 orang penghuni tinggal di rumah berkenaan dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak paramedik untuk tindakan selanjutnya.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di STKRJ Kampung Perpindahan Lambak Kiri, kelmarin.

Manakala yang lain nya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Kenyataan menyatakan yang hadir di tempat kejadian ialah  Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop dan Pemangku Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, ASFR Mushidee bin Junaidi.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 4kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, serta jangan sesekali meninggalkan masakkan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas, pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.