Kanak-kanak terkorban kejadian banjir kilat di Oman

MUSCAT, 3 OKT – Seorang kanak-kanak telah meninggal dunia dalam banjir kilat, sementara penerbangan dan sekolah-sekolah telah ditutup sementara ketika taufan
tropika Shaheen melanda di Oman, kata pihak berkuasa hari ini.

Beberapa yang lain juga dilaporkan hilang dalam banjir kilat di Al Amarat di wilayah Muscat, kata Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Kecemasan Oman.

Negara jiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata pihaknya berada dalam keadaan ‘berjaga-jaga’.

Ribut, dengan kelajuan angin hingga 139 kilometer sejam, berada 65 kilometer dari Muscat dan dijangka melanda pantai utara Oman antara pukul 6 malam dan 10 malam.

Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat ditangguhkan untuk mengelakkan risiko, sementara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam menyeru orang untuk menghindari kawasan dan lembah yang rendah.

“Oman mengisytiharkan cuti kebangsaan dua hari pada hari Ahad dan Isnin, menutup sekolah kerana keadaan iklim yang buruk,” kata pejabat berita rasmi Oman.

UAE juga bersiap menghadapi kemungkinan kejadian yang sama, dengan pihak berkuasa kecemasan mengesa orang ramai untuk menghindari pantai dan kawasan rendah.

“Kami ingin meyakinkan semua orang bahawa pihak berkuasa berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk menangani sebarang keadaan yang akan datang,” kata Lembaga Pengurusan Krisis dan Bencana Kecemasan Kebangsaan UAE kelmarin. – AFP