Seorang kru terkorban dalam letupan kapal tangki minyak

COLOMBO, 4 SEPT – Sebuah kapal tangki minyak Panama yang berdaftar terbakar di luar kawalan bagi hari kedua di Sri Lanka ketika pihak berkuasa mengesahkan seorang anak kapal warga Filipina terkorban dalam letupan itu dan bimbang akan berlakunya tumpahan minyak baharu di Lautan India.

Kapal tentera laut Sri Lanka dan pengawal pantai India melepaskan meriam air ke arah kapal New Diamond, yang membuat panggilan kecemasan kelmarin selepas bilik enjinnya meletup. Sebuah helikopter Sri Lanka telah memadamkan api dari udara di bahagian belakang kapal.

Kebakaran walau bagaimanapun tidak merebak ke bahagian 270,000 tan minyak mentah dan 1,700 tan minyak diesel yang dibawa oleh kapal itu, menurut tentera laut Sri Lanka.

“Maklumat awal dari kru kapal mengesahkan bahawa seorang pelaut Filipina yang berada di dalam kapal terkorban dalam letupan itu,” menurut kenyataan dari tentera laut.

Kesemua kecuali seorang dari 23 orang ahli kru – 18 orang warga Filipina dan lima orang warga Greece – telah diselamatkan kelmarin.

Pegawai ketiga kapal itu, seorang warga Filipina, mengalami kesan lecur dan telah dibawa ke Hospital Kalmunai, 360 kilometer timur ibu kota Colombo. Keadaannya stabil, kata jurucakap tentera laut. – AFP

Kapal tangki minyak yang terbakar di Lautan India telah mengorbankan seorang anak kapal warga Filipina. – AP