Seorang lagi maut cuaca buruk di Perancis

BORDEAUX, PERANCIS, 16 DIS – Cuaca buruk di barat daya Perancis meragut nyawa ketiga semalam, susulan penemuan mayat lelaki di dalam keretanya yang tenggelam, beberapa hari selepas dilaporkan hilang.

Timbalan peguam daerah, Laurent Bidault berkata, kejadian berkenaan berlaku akibat cuaca buruk dan mayat mangsa ditemui tengah hari semalam, berhampiran sungai Ardour, timur Dax.

“Kereta itu tenggelam sepenuhnya,” kata Bidault.

Cuaca buruk mula melanda barat daya Perancis Jumaat lalu, dengan angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan ribuan kediaman bergelap apabila bekalan elektrik terputus. Terdahulu, dua lelaki warga emas menemui ajal akibat ribut berkenaan.

Seorang lelaki berusia 70 tahun terbunuh di Pyrenees-Atlantique di Basque County, Jumaat lalu apabila kenderaannya ditimpa pokok tumbang.

Turut berlaku pada hari yang sama ialah kes lemas membabitkan seorang lelaki berusia 76 tahun, yang dihanyutkan arus deras ketika mahu mengambil surat di kediamannya di Lotet-Garonne.

Mayat mangsa ditemui 24 jam kemudian, lebih satu kilometer dari rumahnya. Sehingga semalam, empat bahagian di barat daya Perancis masih dinaiki air. – AFP

Gambar fail pada 14 Disember lalu menunjukkan seorang anggota bomba berjalan merentasi kawasan banjir di Peyrehorade, selatan Perancis selepas hujan lebat turun melanda kawasan tersebut. – AFP