Seorang lagi pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan satu lagi kes yang telah kembali ke rahmatullah akibat COVID-19, menjadikan jumlah terkini angka kematian kepada dua orang.

Allahyarham merupakan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun, daripada kes ke-94 COVID-19 di negara ini.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Pengasingan Kebangsaan hari ini pada jam 7:30 pagi.

Allahyarham telah menjalani rawatan di pusat tersebut sejak disahkan dijangkiti COVID-19 pada 24 Mac lalu dan mula mengalami tanda-tanda jangkitan pada 22 Mac dan dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif pusat berkenaan pada 25 Mac lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan berita sedih itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Sehubungan dengan itu, demi menjaga dan menghormati privasi serta confidentiality keluarga Allahyarham, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsi butiran peribadi Allahyarham.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika bacaan Surah Al-Fatihah bagi Allahyarham pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan Allahyarham serta keluarga beliau,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Pada sidang media tersebut juga, Yang Berhormat Dato mengambil kesempatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para sallehin.

Seterusnya, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, menjadikan ia kekal seramai 141 orang.

Manakala kes sembuh juga tidak ada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal 137 orang, dengan kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan kini dua kes.

Daripada jumlah tersebut, menurut Yang Berhormat Dato, seorang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala satu kes aktif lagi adalah dalam keadaan yang baik.

Selain itu, beliau juga mengongsi bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 28 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,648 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.