Seorang lagi pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPTEMBER – Satu lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah me-ninggal dunia, pada hari ini.

Kes tersebut ialah seorang lelaki berumur 64 tahun yang merupakan Kes 3196, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Kes ini telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Dengan yang demikian, jumlah kes COVID-19 yang telah meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19 kekal seramai 30 orang. Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya,” kata beliau.