Seorang lagi pesakit positif COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Satu lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke Rahmatullah, pada hari ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, kes tersebut ialah seorang lelaki berumur 92 tahun yang merupakan Kes 3273.

“Kes ini telah mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan dengan ini, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes tersebut, Yang Berhormat Dato tidak mengongsikan butiran peribadi kes.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes tersebut,” gesa beliau.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan.