Seorang lelaki kritikal dijangkiti COVID-19 di Jerman

BERLIN, 26 FEB – Pihak berkuasa di Jerman berkata hari ini bahawa seorang lelaki yang telah dijangkiti COVID-19 berada dalam keadaan kritikal dan telah dibawa ke sebuah hospital pakar di Dusseldorf.

Kementerian Kesihatan di Rhine-Westphalia berkata lelaki itu mula dimasukkan ke hospital Isnin lalu selepas dijangkiti pneumonia di bandar Erkelenz berhampiran sempadan Belanda.

Dia kemudian didiagnosis positif virus COVID-19 dan dikuarantin di unit rawatan rapi sebelum dibawa ke Hospital Universiti Duesseldorf. Isterinya juga telah dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan selepas menunjukkan simptom gejala virus itu.

Agensi berita Jerman melaporkan bahawa lelaki tersebut berusia 40an dan dalam keadaan kritikal.

Pegawai kesihatan Belanda hari ini akan mengesan setiap langkah pergerakan lelaki itu di Jerman selepas diuji positif dan mengetahui bahawa dia telah melawat wilayah selatan Limburg minggu lalu.

Institut kesihatan awam memberitahu bahawa pihak berkuasa kesihatan tempatan sedang berusaha untuk mengesan siapa saja yang bersentuhan dengan lelaki itu.

“Sekiranya selepas sentuhan itu mengalami simptom gejala virus, mereka perlu dikuarantin dan diuji,” kata institut itu.

Belanda tidak mendaftarkan sebarang kes yang disahkan mengenai COVID-19. – AFP

Seorang wanita yang memakai topeng berjalan di hadapan kereta api Eurocity di stesen utama di Munich, Jerman. Seorang lelaki yang dijangkiti COVID-19 telah dibawa ke hospital di Dusseldorf. –AP