Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang maut, 12 cedera selepas bas pelancong rempuh trak

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – Seorang pelancong Jepun maut dan 12 lagi cedera apabila bas persiaran merempuh belakang sebuah trak di lebuh raya di Malaysia, kata salah satu agensi pelancongan terbesar Jepun, hari ini.

    JTB Corp berkata nahas berlaku kelmarin di negeri Perak di tengah Malaysia, ketika bas itu menuju dari Pulau Pinang ke Cameron Highlands, destinasi pelancongan popular yang dipenuhi dengan ladang teh.

    Seorang wanita berusia 70an meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JTB, Eijiro Yamakita, pada sidang akhbar di Tokyo.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata bas itu membawa tiga lelaki dan lapan wanita dari Jepun, kesemuanya warga emas, serta seorang pemandu bas dan pemandu pelancong tempatan. Ia berkata kesemua 13 mangsa telah dibawa ke hospital selepas menerima rawatan awal di lokasi.

    Yamakita berkata, beberapa mangsa yang terselamat mengalami cedera parah. Beliau berkata keadaan sebenar mereka masih belum diketahui, dan punca nahas sedang dalam siasatan.

    Gambar yang disediakan oleh pihak bomba menunjukkan bahagian hadapan bas itu mengalami rosak teruk, dengan cermin depannya pecah.

    “Sebagai sebuah agensi pelancongan, kami sangat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf,” kata Yamakita. – AFP

    Gambar menunjukkan lokasi di mana sebuah bas persiaran merempuh belakang sebuah lori di Taiping, Negeri Perak, Malaysia pada 24 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda