Seorang pegawai JBP dinaikkan pangkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah dinaikkan pangkat sebagai timbalan pegawai balai dan menerima tanda pangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serba guna, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Landasan Lama Berakas, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, penyampaian tanda pangkat kepada Penolong Pegawai Balai, Awang Jeffri bin Haji Said telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Teknikal, Awang Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi.

Majlis turut dihadiri oleh pemangku penolong-penolong pengarah, para pegawai kanan, pegawai, anggota serta kakitangan JBP dan keluarga pegawai yang dinaikkan pangkat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ahli Bomba 1026 Awang Amin bin Zainuddin.

Kenyataan menyatakan, JBP sentiasa menggalakkan warga petugas untuk menanamkan sifat daya maju diri dan persaingan sihat dalam kalangan anggota untuk membentuk budaya kerja berpasukan yang sihat dan berpotensi tinggi.

Pengiktirafan itu adalah sebagai penghargaan jabatan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan bakti yang cemerlang, berdedikasi dan disiplin yang tinggi serta patuh kepada peraturan selaku seorang anggota perkhidmatan awam dan undang-undang negara.

JBP dalam kenyataan berkenaan, mengucapkan tahniah kepada pegawai berkenaan atas kenaikan pangkat tersebut dan diharapkan ia menjadi pendorong untuk meningkatkan lagi komitmen, kualiti, produktiviti dan mutu kerja yang lebih efektif ke arah kecemerlangan bagi mencapai visi dan misi jabatan.

Awang Nohi Irwan Surkarki menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada Penolong Pegawai Balai Jeffri yang dinaikkan pangkat sebagai timbalan pegawai balai. – Gambar serahan JBP