Seorang pesakit COVID-19 disahkan meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Satu lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, pada hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan, kes tersebut ialah seorang perempuan berumur 60 tahun yang merupakan Kes 3264.

“Sehubungan dengan ini, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes tersebut, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan butiran peribadi kes,” tekannya.

Yang Berhormat Dato juga menasihatkan orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes tersebut.

“Di kesempatan itu, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah,” tambahnya.