SARIKEI, 10 Feb – Seorang lelaki terselamat manakala dua lagi rakannya masih hilang selepas kapal dinaiki mereka yang membawa muatan jentera berat karam di Sungai Serdeng dekat sini kira-kira 12 tengah malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Jangan Muling berkata juragan kapal tersebut Mohamad Dollah, 66, ditemukan terkapai-kapai di dalam sungai oleh orang awam yang melalui lokasi kejadian pada kira-kira 8:30 pagi tadi sebelum dia dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan.
“Menurut mangsa, terdapat dua lagi rakannya masih hilang. Belum ada butiran penuh diperoleh mengenai kedua-dua mangsa yang masih hilang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama