Seorang tentera Israel terbunuh akibat dilontar batu

BAITULMAQDDIS, 12 MEI – Seorang tentera Israel telah terbunuh oleh batu yang dilemparkan oleh seorang penduduk Palestin semasa serbuan di Tebing Barat hari ini, menurut jurucakap tentera.

Kenyataan dari tentera berkata anggota tentera yang berusia 21 tahun itu terkena di kepala ‘semasa aktiviti operasi’ di kampung Yaabad berdekatan dengan bandar di bahagian utara Jenin.

Menurut sumber keselamatan Palestin, pertempuran tersebut berlaku pada waktu tengah malam ketika pasukan tentera Israel menyerbu kampung tersebut.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus mengatakan pasukan tentera telah memasuki kampung tersebut untuk mengepung suspek Palestin.

“Yaabad terkenal sebagai kawasan pergolakan bagi pemberontak dan para simpati serta penyokong aktiviti pemberontak,” katanya.

Tentera Israel menahan seorang rakyat Palestin di perkampungan Yaabad, berhampiran dengan bandar Tebing Barat, Jenin, hari ini. Seorang tentera Israel dilaporkan terbunuh selepas seorang rakyat Palestin melempar batu di bahagian kepalanya. – AFP

Pasukan tentera sedang meninggalkan perkampungan tersebut apabila batu-batu dilemparkan ke arah mereka, terkena di bahagian kepala, katanya, menambah bahawa anggota tentera sedang mencari mereka yang melakukan perbuatan tersebut. “Aktiviti pertempuran sedang berlaku,” katanya.

Conricus berkata ia merupakan kematian pertama seorang tentera dalam pertempuran pada tahun ini.

Kejadian tersebut disamakan dengan pembunuhan seorang sarjan pasukan khas pada Mei 2018 semasa operasi penangkapan di kem pelarian Palestin Al-Amari berdekatan dengan bandar di Tebing Barat di Ramallah.

Dalam kejadian itu, seorang tentera telah terbunuh akibat dilempar batu dari sebuah bangunan, mengenai kepalanya.

Penyerang tersebut telah didakwa di mahkamah tentera Israel dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Kematian terbaharu ini berlaku sebelum lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo ke Israel pada Rabu.

Pompeo berkata perbincangannya di Baitulmaqdis akan merangkumi rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk memisahkan sebahagian besar kawasan di Tebing Barat, meskipun amaran dari pihak Palestin bahawa langkah tersebut akan menghapuskan sebarang prospek perdamaian. – AFP