Seorang terbunuh, khemah anti-kerajaan dibakar

BAGHDAD, 27 JAN – Seorang penunjuk perasaan terbunuh awal pagi hari ini di bandar Nasiriyah, Iraq, seorang pegawai perubatan memberitahu AFP, ketika lelaki bersenjata menyerang dataran yang menempatkan khemah penunjuk perasaan anti-kerajaan sejak beberapa bulan lalu.

Lelaki itu datang di Dataran Habbubi selepas tengah malam, membakar khemah-khemah ketika para penunjuk perasaan sedang tidur dan tidak meninggalkan apa-apa kecuali cebisan kain dan bingkai logam, kata wartawan AFP yang berada di sana.

Lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan, membunuh seorang dan empat lagi yang lain mengalami cedera, sumber perubatan berkata.

Beberapa jam kemudian, penunjuk perasaan telah bangkit sekali lagi dan menutup dua jambatan utama di bandar itu kira-kira 350 kilometer selatan ibu kota Baghdad.

Kem utama protes di bandar suci Najaf juga turut dibakar semalam oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali, lapor wartawan AFP di sana.

Protes massa meletus pada 1 Oktober di Baghdad dan di seluruh majoriti Syiah di selatan Iraq dalam kemarahan terhadap kekurangan pekerjaan, perkhidmatan buruk dan rasuah.

Mereka menggesa untuk pembaikpulihan kerajaan secara keseluruhan dan kini menuntut pilihan raya kecil, seorang perdana menteri bebas dan pendakwaan terhadap sesiapa yang terlibat rasuah dan pertumpahan darah baru-baru ini.

Para penunjuk perasaan cuba memberi tekanan kepada kerajaan bermula seminggu lalu dengan menutup jalan-jalan dengan pembakaran tayar dan benteng logam, tetapi polis rusuhan bertindak dengan kekerasan. – AFP

Penunjuk perasaan anti-kerajaan Iraq bertempur dengan pasukan keselamatan di Dataran al-Khillani di tengah Baghdad. – AFP