Seorang terkorban, puluhan cedera nahas kereta api

PRAGUE, 15 JULAI – Seorang juru pandu kereta api meninggal dunia manakala berpuluh-puluh penumpang lagi cedera dalam kejadian perlanggaran kereta api berdekatan Prague, seorang menteri Czech dan penyelamat berkata hari ini.

“Malangnya, saya mendapat tahu bahawa seorang telah dilaporkan meninggal dunia,” Menteri Pengangkutan, Karel Havlicek memberitahu siaran televisyen Czech.

Penyelamat mengatakan bahawa mangsa yang meninggal dunia itu adalah pemandu kereta api penumpang, yang mana membawa lebih dari 100 orang penumpang.

“Mangsa ditemui mati dalam kabin yang hancur,” tulis perkhidmatan penyelamat wilayah di laman webnya.

Havlicek kemudian memberitahu radio Czech bahawa pemandu itu besar kemungkinan mengabaikan lampu merah.

Kemalangan berlaku selepas 1930 GMT kelmarin berhampiran bandar Cesky Brod, kira-kira 30 kilometer (hampir 20 batu) di Timur Prague, di jalan kereta api yang sibuk menghubungkan ibu negara dengan bahagian Timur negara tersebut.

Havlicek mengatakan dua orang mengalami kecederaan serius.

Penyelamat mengatakan lapan orang penumpang yang lain mengalami kecederaan parah dan 25 lagi mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital.

Minggu lalu, dua orang meninggal dunia dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian kemalangan kereta api di Barat Czech. – AFP

Para penyelamat membantu mangsa kejadian pelanggaran kereta api di Cesky Brod, Republik Czech.- AP