Seoul cadang bina perhentian bas berteknologi tinggi ala hanok

SEOUL, 21 SEPT – Pemerintah bandar Seoul hari ini bercadang membina perhentian bas berteknologi tinggi berdasarkan reka bentuk hanok atau rumah tradisional, lapor agensi berita Yonhap.

Reka bentuk berjudul ‘Keindahan Korea’ itu diilhamkan daripada konsep binaan hanok, menurut pemerintah bandar Seoul.

Di peringkat awal perhentian bas itu akan dibina di 10 kawasan termasuk Sungye Gate dan Hongik University, bermula bulan depan, sebelum diperluaskan ke beberapa kawasan lain tahun depan.

Tumbuh-tumbuhan hijau akan ditanam bagi mewujudkan suasana taman dalam bandar manakala perkhidmatan Wi-Fi percuma, pengecas telefon bimbit tanpa wayar dan penyaman udara turut disediakan.

Perhentian bas itu juga dilengkapi ciri keselamatan lebih baik kerana bas akan berhenti pada kedudukan yang tepat melalui teknologi Internet pelbagai benda (IoT) selain pintu penghadang turut dipasang. – Bernama