Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul harap pembekuan sel telur bantu krisis anak damit

    SEOUL – Ketika kadar kelahiran Korea Selatan mencecah paras terendah baharu, pegawai-pegawai bandar Seoul mempunyai rancangan untuk membantu iaitu dengan pembekuan telur bersubsidi.

    Bagaimanapun, pakar-pakar memberi amaran bahawa inisiatif itu tidak mungkin menterbalikkan penurunan demografi yang mendadak.

    Dengan hanya 0.7 kelahiran bagi setiap wanita lewat tahun lalu, Korea Selatan mempunyai salah satu kadar kelahiran terendah di dunia, jauh di bawah kadar penggantian, bermakna populasi semakin menua, dan mengecut dengan cepat.

    Kerajaan telah mencurahkan berbilion-bilion dolar untuk cuba menggalakkan lebih banyak kelahiran, dengan salah satu usaha terbaharu melibatkan pihak berkuasa bandar Seoul menawarkan untuk mensubsidi kos satu pusingan pembekuan telur.

    Jeong, yang berumur dalam lingkungan 40an, memutuskan untuk mengambil tawaran itu.

    Tangkap layar daripada video AFPTV yang diambil pada 8 November 2023 menunjukkan seorang penyelidik memeriksa telur yang diekstrak sebelum prosedur pembekuan di makmal penyelidikan kesuburan Pusat Perubatan CHA Bundang di Seongnam. – AFP
    Seorang penyelidik memeriksa telur beku di makmal penyelidikan kesuburan Pusat Perubatan CHA Bundang. – AFP
    Penyelidik memeriksa telur beku di makmal penyelidikan kesuburan Pusat Perubatan CHA Bundang. – AFP
    Cha Kwang-yul semasa temu bual dengan AFP di pejabatnya di Seongnam. – AFP
    Gambar AFP

    “Saya merasakan tekanan untuk mempunyai anak damit kerana usia saya, yang menyebabkan saya mempertimbangkan untuk berkahwin dengan cepat,” kata Jeong, yang hanya ingin dikenali dengan nama keluarganya, memberitahu AFP.

    “Apabila saya mencecah pertengahan 30an, saya mencadangkan kepada lelaki yang saya temui supaya kami berkahwin secepat mungkin. Tetapi ia tidak berjaya,” tambah Jeong. Jadi dia beralih kepada pelan sandaran.

    Walaupun wanita bujang boleh membekukan telur mereka, sebenarnya skim itu hanya akan membantu wanita yang akan berkahwin, kerana klinik yang menawarkan inseminasi dalam rahim (IUI) dan persenyawaan in-vitro (IVF) biasanya memerlukan sijil perkahwinan, menjadikan prosedur itu hampir mustahil untuk diakses oleh orang
    bujang.

    Pembekuan telur secara teorinya membolehkan wanita mengekalkan kesuburan mereka, walaupun ia dilihat lebih berkemungkinan berjaya jika wanita menjalani prosedur itu sebelum kualiti telur mula merosot dengan mendadak, biasanya dari umur 38 tahun ke atas.

    Setelah membekukan telurnya, Jeong berkata dia tidak lagi berasa ‘cemas’ tentang menjadi bujang dan terlepas untuk mempunyai anak damit – dan bersedia menunggu sehingga dia menemui orang yang sesuai.

    “Sekarang saya mempunyai telur beku saya sebagai insurans, saya masih boleh menunggu,” katanya kepada AFP.

    Membantu wanita Korea membekukan telur mereka ditentukan oleh pihak berkuasa bandar Seoul sebagai “penyelesaian paling praktikal” untuk “melabur dalam kemungkinan bersalin masa depan”, kata kerajaan perbandaran.

    “Memandangkan usia perkahwinan dan kehamilan terus meningkat dan penyertaan wanita dalam masyarakat menjadi lebih menonjol, terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan wanita belum berkahwin yang bercita-cita untuk hamil dan melahirkan anak pada masa hadapan,” tambahnya.

    DI LUAR KESUBURAN

    Teknologi untuk membekukan telur telah tersedia di Korea Selatan sejak akhir 1990an, tetapi terdapat sedikit kesedaran dan permintaan minimum untuk prosedur tersebut.

    Cha Kwang-yul, yang mengendalikan Kumpulan Perubatan CHA, membangunkan salah satu kaedah pengawetan beku sel telur vitrifikasi pertama di dunia pada 1998, dan telah menjalankan bank telur sejak 1999.

    Tetapi hanya wanita yang menghidap kanser, yang mungkin kehilangan kesuburan melalui rawatan perubatan, berminat dengan prosedur itu, katanya.

    “Baru beberapa tahun sejak budaya… berubah dan orang (mula) berkata: ‘Hei, jika awda tidak (bercadang untuk) berkahwin, simpan telur awda dengan baik.’”

    Penyelidikan Cha telah memberi tumpuan kepada potensi telur untuk teknologi sel stem, yang katanya boleh menawarkan bantuan untuk banyak masalah perubatan seperti pemindahan organ – bukan hanya masalah kesuburan.

    Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana lebih banyak maklumat mengenai potensi prosedur untuk membantu memanjangkan kesuburan wanita telah
    beralih ke arus utama, dia telah melihat permintaan yang semakin meningkat untuk prosedur itu.

    Bilangan prosedur pembekuan telur yang dijalankan di Pusat Perubatan CHA telah meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun sahaja, daripada 72 pada 2015 kepada lebih daripada 1,000 pada 2022.

    GENERASI ‘N-PO’

    Tetapi usaha untuk menyelesaikan krisis demografi Korea Selatan yang memberi tumpuan kepada menggalakkan orang ramai berkahwin dan mempunyai anak damit tidak mengiktiraf perubahan sosial yang besar, kata pakar-pakar.

    Orang muda Korea Selatan telah menerima istilah generasi ‘N-po’ untuk merujuk kepada keputusan meninggalkan aspirasi untuk perkahwinan, keibubapaan dan pemilikan rumah kerana pertumbuhan ekonomi yang tidak stabil dan persaingan sengit untuk pekerjaan yang terhad.

    Hanya 3.7 bagi setiap 1,000 orang berkahwin pada 2022, menurut data rasmi, rekod rendah.

    Isi rumah bujang kini menyumbang 41 peratus daripada semua isi rumah di Korea Selatan, angka rasmi menunjukkan – dengan angka itu akan berkembang dalam beberapa dekad akan datang.

    Di sebalik realiti ini, ibu bapa tunggal kekal mendapat stigma, dan kadarnya jauh lebih rendah berbanding di negara perindustrian lain, kata Hyeyoung Woo, seorang profesor sosiologi yang menyelidik keluarga di Korea Selatan di Portland State University.

    Hanya 2.5 peratus daripada semua anak damit di Korea Selatan pada 2020 dilahirkan di luar nikah, berbanding purata OECD sekitar 40 peratus.

    Memberi subsidi pembekuan telur tidak akan “berkesan menangani kadar kelahiran rendah semasa di Korea”, kata Woo kepada AFP.

    Adalah lebih berkesan untuk memberi tumpuan kepada menggalakkan perkahwinan dan lebih ramai anak kedua dalam perkahwinan melalui perumahan, cukai, penjagaan anak dan faedah cuti ibu bapa, katanya.

    Lebih-lebih lagi, negara perlu “lebih menerima pelbagai bentuk keluarga”, tambah-
    nya, termasuk membantu orang bujang jika mereka ingin mempunyai anak. – AFP​

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda