Seoul kuat kuasa had di restoran, tutup gim

SEOUL, KOREA SELATAN, 30 OGOS – Korea Selatan telah melaporkan 299 kes baharu koronavirus ketika para pegawai menguatkuasakan had keramaian di restoran dan menutup pusat-pusat kecergasan serta akademik luar sekolah, di kawasan bandar untuk memperlahankan penularan virus.

Pertambahan tiga angka jangkitan selama 17 hari berturut-turut telah membawa jumlah kes di negara itu kepada 19,699, termasuk 323 kematian.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berkata sebanyak 209 kes baharu datang dari bandar Seoul, dekat wilayah Gyeonggi dan Incheon, sebuah rantau yang sudah lama menjadi tumpuan kebangkitan semula penyakit itu bulan ini.

Sebanyak 30 kes juga telah dilaporkan di bandar Daegu, tumpuan utama letusan wabak sebelumnya pada lewat Februari dan Mac.

Gereja-gereja muncul sebagai sumber utama jangkitan di rantau Seoul dan di tempat lain, dengan kebanyakannya gagal untuk mengenakan penutup mulut dan hidung serta membenarkan jemaah untuk menyanyi dan makan bersama.

Jangkitan kluster juga muncul dari restoran-restoran, sekolah, rumah jagaan dan bangunan apartmen.

Pihak berkuasa telah mengarahkan gereja dan kelab malam untuk ditutup dan mengarahkan lebih banyak sekolah kembali kepada pembelajaran online di seluruh negara ketika jangkitan memuncak.

Selama lapan hari bermula hari ini, restoran-restoran di kawasan Seoul dibenarkan untuk menyediakan penghantaran dan bawa balik selepas jam 9 malam, sementara francais kedai kopi seperti Starbucks akan hanya menjual makanan dan minuman bawa pulang. – AP