Seoul longgar sekatan 1 Julai

SEOUL, KOREA SELATAN, 20 JUN – Korea Selatan berkata ia merancang membenarkan perhimpunan sosial sehingga enam orang dan membenarkan restoran dan kafe beroperasi sehingga tengah malam di kawasan penduduk padat di Seoul, bermula pada 1 Julai.

Menteri Kesihatan Kwon Deok-cheol berkata hari ini pelonggaran peraturan penjarakan sosial bertujuan ‘mencari keseimbangan di antara kuarantin dan usaha untuk kembali kepada keadaan normal di tengah pandemik COVID-19 yang berlarutan.’

Selepas tempoh peralihan dua minggu, pihak berkuasa kesihatan merancang membenarkan perhimpunan sehingga lapan orang di kawasan Seoul mulai 15 Julai. Buat masa sekarang, pihak berkuasa membenarkan perhimpunan sehingga empat orang dan membenarkan restoran, kafe dan perniagaan lain beroperasi sehingga 10 malam.

Sekatan ke atas jumlah orang pada perhimpunan peribadi di kawasan bukan Seoul akan dibatalkan.

Kwon berkata kira-kira 30 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan telah menerima dos pertama vaksin koronavirus. Beliau berkata Korea Selatan melaporkan kira-kira 444 kes virus baharu setiap hari pada minggu lalu, pengurangan sebanyak 15 peratus berbanding minggu sebelumnya. – AP