SEOUL, 19 SEPT – Korea Selatan hari ini telah memanggil duta Rusia, menurut Kementerian Luar Negeri, untuk memberi amaran kepada Moscow berhubung kerjasama ketenteraan dengan Korea Utara selepas Kim Jong Un bertemu Presiden Vladimir Putin di Rusia.
Kim meluangkan masa hampir seminggu melawat timur jauh Rusia sebelum pulang ke tanah air kelmarin, melawat pusat angkasa dan kilang senjata, dalam lawatan yang menimbulkan kebimbangan barat bahawa Pyongyang yang bersenjata nuklear boleh membekalkan Moscow dengan senjata untuk perang di Ukraine.
Kim dan Putin mengadakan satu sidang kemuncak, dengan pemimpin Rusia itu bercakap mengenai kerjasama pertahanan dengan Korea Utara, membayangkan ‘kemungkinan’ untuk memperkukuhkan hubungan ketenteraan – sesuatu yang akan melanggar beberapa sekatan berasingan ke atas kedua-dua negara itu.
Kremlin kemudiannya berkata tiada perjanjian yang telah atau akan ditandatangani.
Para pakar telah memberi amaran bahawa kedua-dua negara yang terpinggir di peringkat antarabangsa itu mungkin mencari perjanjian yang melibatkan Pyongyang membekalkan peluru artileri dan peluru berpandu anti-kereta kebal sebagai pertukaran untuk teknologi satelit dari Moscow.
Seoul telah memanggil Andrey Borisovich Kulik, duta Rusia ke Korea Selatan, dan menggesa Moscow untuk ‘segera menghentikan tindakan kerjasama ketenteraan dengan Korea Utara dan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan’, kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
“Kerajaan kami akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan bahawa sebarang tindakan yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan dan mengancam keselamatan kami akan dikenakan kesan yang jelas,” kata Seoul kepada duta Rusia, demikian menurut kenyataan kenyataan itu.
“Tindakan sedemikian akan memberi kesan yang sangat negatif kepada hubungan Korea-Rusia,” tambahnya. – AFP
