Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seoul teruskan usaha diplomatik

    SEOUL, 25 Mei – Korea Selatan merancang meneruskan usaha diplomatik untuk mengekalkan momentum dialog antara Republik Rakyat Demokrasi Korea (DPRK) dan Amerika Syarikat (AS) meskipun Presiden Donald Trump membatalkan sidang kemuncak DPRK-AS yang dijadualkan bulan depan.

    Jurucakap kementerian penyatuan Seoul yang bertanggung jawab bagi hal ehwal antara Korea, Baek Tai-hyun, memberitahu taklimat media bahawa negara itu akan melaksanakan usaha diplomatik untuk mengekalkan momentum dialog.

    “Kesemua pihak berkaitan tidak mengubah pendirian mereka bahawa isu-isu seharusnya diselesaikan menerusi dialog,” katanya.

    Ulasan dibuat selepas Trump berkata dalam surat kepada pemimpin tertinggi DPRK Kim Jong Un yang telah didedahkan kepada awam, bahawa adalah tidak sesuai untuk mengadakan sidang kemuncak DPRK-AS yang dirancang pada 12 Jun di Singapura dengan menyebutkan kemarahan hebat dan penentangan terbuka yang ditunjukkan dalam kenyataan DPRK baru-baru ini.

    Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan mesyuarat tergempar dengan penolong-penolong kanan keselamatan dan diplomatiknya, dengan melahirkan rasa amat kesal akibat pembatalan sidang kemuncak itu.

    Gambar fail bertarikh 27 April 2018 menunjukkan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan Pemimpin DPKR, Kim Jong Un berjabat tangan semasa bergambar di perkampungan Panmunjom, Zon Bebas Tentera, Korea Selatan. Seoul akan meneruskan usaha diplomatik untuk mengekalkan momentum dialog antara DPRK dan Amerika Syarikat. – AP

    Di sebalik pembatalan itu, Trump meninggalkan ruang bagi rundingannya dengan pemimpin DPRK pada masa akan datang, dengan mengatakan dia ‘amat’ menantikan pertemuan dengan Kim ‘pada satu hari nanti’.

    Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo telah mengadakan perbualan melalui telefon awal hari itu dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Kang Kyung-wha, dengan mengatakan pihak AS amat sedia untuk meneruskan dialog dengan DPRK.

    Pompeo berikrar akan meneruskan usaha bagi mewujudkan suasana dialog DPRK-AS. Dalam responsnya Kang berkata Seoul dan Washington seharusnya melaksanakan usaha habis-habisan untuk mengekalkan peluang dialog dengan DPRK yang sukar diraih itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda