SEOUL, 13 Okt – Seoul bakal menjadi tuan rumah forum antarabangsa terbesar berkaitan Artik tahun depan bagi mencari jalan mempromosi kepentingan negara benua itu di rantau Asia Timur, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan kementerian luar, hari ini.
Seoul diumumkan sebagai tuan rumah Forum Lingkaran Artik Seoul, yang berlangsung pada Disember 2018, semasa Perhimpunan Lingkaran Artik memulakan mesyuarat tiga harinya pada awal hari ini di Reykjavik, Iceland.
Lingkaran Artik adalah sebuah organisasi antarabangsa yang bertujuan memudahkan dialog pelbagai hala berkaitan isu yang dihadapi benua itu.
Forum dwitahunan organisasi itu adalah yang terbesar berbanding persidangan antarabangsa lain berkaitan Kutub Utara dan mengumpulkan kira-kira 2,000 pegawai kerajaan dan pakar dari seluruh dunia.
Ini merupakan kali pertama Forum Lingkaran Artik berlangsung rantau Asia Timur sejak organisasi itu melancarkan forum antarabangsanya pada 2013 di Iceland.
“Keputusan itu dijangka mendorong minat negara Artik di rantau Asia Timur yang bakal memainkan peranan penting dalam membangun dan memanfaatkan Artik pada masa depan,” kata kementerian itu.
“Langkah ini juga dijangka membuka jalan kepada syarikat Korea Selatan memasuki benua itu dan meningkatkan diplomasi negara terbabit terhadap isu Artik.”
“Kerajaan Korea Selatan bercadang meningkatkan kerjasama dengan rantau Artik dan institusi yang relevan bagi menangani secara proaktif cabaran ekologikal yang berpunca daripada perubahan iklim di Kutub Utara serta menyokong syarikat Korea Selatan menembusi rantau itu,” kata kementerian itu.
Selaras dengan itu, kementerian luar turut bercadang menghoskan satu seminar dengan Majlis Ekonomi Artik pada 11 Disember di Seoul bagi mempromosi kerjasama antara mereka. – Bernama