Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepadu mencapai wawasan kecemerlangan

    Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

    Gambar Oleh Muiz Matdani, Sim Y.H & Infofoto

    BANGAR, 20 Julai – Setelah Daerah Tutong mempersembahkan persembahan yang membawa tema ‘Raja Bijaksana, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, kini tiba masanya pula bagi Daerah Temburong mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema ‘Raja Berwawasan, Negara Terpimpin’, bersempena dengan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli Bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong yang berlangsung di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Temburong, hari ini.

    Tema persembahan menggambarkan wawasan Baginda yang bijaksana, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dapat membawa negara secara konsisten, bersepadu dan terarah kepada satu tahap kemajuan yang dapat dibanggakan, yang menjadi ristaan bukan saja oleh sekalian rakyat jelata malahan oleh seluruh komuniti serantau dan antarabangsa.

    Wawasan Baginda telah dan akan terus memacu negara mencapai kemajuan atau pembangunan prasarana, pendidikan, meningkatkan sosioekonomi dan sebagainya, selaras dengan konsep negara, iaitu Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir. Dengan rahmat dan inayah dari Allah S.W.T, Baginda akan terus memimpin negara dan rakyat jelata mencapai kejayaan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda