Sepanduk, streamer dikitar semula jadi beg

MIRI, 7 Nov – Sepanduk dan streamer dari plastik yang dipasang di Bandaraya Miri tidak akan menjadi ancaman kepada alam sekitar tidak lama lagi kerana ia akan dikitar semula untuk dijadikan beg eko melalui konsep perkongsian bijak.

Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata sejajar dengan Program Pembangunan Komuniti dan konsep Persekitaran Bandar Raya Hijau, Majlis Bandaraya Miri (MBM) bersama-sama GiatMara Miri serta syarikat pengiklanan dan percetakan mendapat idea untuk mengitar semula sepanduk dan streamer daripada plastik untuk dijadikan produk yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Kami wujudkan perkongsian bijak di mana MBM membekalkan sepanduk dan streamer yang tidak diingini atau dirampas, manakala GiatMara Miri akan menyediakan khidmat menjahit untuk menjadikannya beg eko,” kata Yii pada majlis pelancaran Upcyled Banners@Streamer Ecobags 2018 di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai permulaan, 100 beg eko telah dihasilkan dan pendapatan daripada jualannya akan digunakan GiatMara Miri untuk membiayai aktiviti pusat latihan kemahiran itu.

“Saya menyokong idea inovatif ini, daripada hanya membiarkan sepanduk dan streamer yang diperbuat daripada plastik menjadi bebanan kepada tapak pelupusan sampah kerana bahan itu mengambil masa bertahun-tahun untuk mereput, kami hasilkan beg daripadanya untuk kegunaan ketika membeli-belah dan bagi menyimpan barang. Lagipun, beg ini juga kalis air,” katanya.

Yii berharap, sejajar deng-an kempen ‘Tiada Beg Plastik Setiap Ahad’ dan larangan penggunaan bekas makanan daripada styrofoam yang dilancarkan di sini pada 15 Disember 2017, usaha mengurangkan penggunaan beg plastik dan menolak penggunaan styrofoam akan dipergiatkan lagi ke-rana bahan itu memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. – Bernama