Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanjang minggu tanpa beg plastik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Dalam usaha untuk mencapai sasaran pengurangan jumlah pengeluaran sampah serta menggalakkan tabiat kitar semula iaitu pengalaman 3R (Reuse, Reduce, Recycle) di kalangan masyarakat, Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, akan menyaksikan penambahan hari Isnin kepada inisiatif berkenaan bermula 31 Disember yang akan menjadikannya sepanjang minggu tanpa beg plastik di gedung-gedung dan syarikat perniagaan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, di sini, penambahan hari Isnin kepada inisiatif berkenaan adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik menjelang 1 Januari 2019.

    Inisiatif yang membawa slogan, It takes a nation to end plastic pollution, menekankan pentingnya penglibatan kesemua pihak untuk menjayakan usaha pengurangan pencemaran plastik.

    Perkara berkenaan pernah ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Penambahan Hari Khamis ke Arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik pada 19 April lalu.

    Beliau berkata, “Kejayaan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini bebas dari pencemaran plastik bergantung sepenuhnya pada tindakan semua pihak, terutama sekali pihak pasar raya dan gedung-gedung perniagaan, pemilik kedai runcit dan orang ramai yang menjadi pengguna beg plastik.

    “Sekiranya tiada kesedaran di kalangan kita semua mengenai pencemaran dari beg plastik, segala perancangan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan tidak akan berjaya sepenuhnya,” tambahnya.

    Kenyataan menyatakan bahawa pada peringkat permulaannya, penambahan hari kepada inisiatif berkenaan akan melibatkan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang sedia ada tersenarai di bawah inisiatif tanpa beg plastik dan akan diperluaskan serta dilanjutkan lagi kepada pengguna beg plastik yang lain seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

    Inisiatif itu dihasratkan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam usaha untuk mengurangkan jumlah sisa buangan yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan, dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pengurangan jumlah pengeluaran sampah per kapita iaitu dari 1.4 kilogram pengeluaran sisa pepejal yang tertinggi di rantau ini, kepada 1 kilogram per kapita menjelang tahun 2035.

    Orang ramai yang menggunakan beg kitar semula semasa membuat pembelian barangan disalah sebuah pasar raya di Gadong, kelmarin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda