LONDON, 17 JULAI – Sepanyol bakal mengatur pertemuan suku akhir menentang England di Euro 2022 selepas jaringan lewat perlawanan daripada Marta Cardona memberikan kemenangan 1-0 ke atas Denmark, kelmarin.
Kekalahan pertama Denmark sejak 2019 kepada Jerman dalam perlawanan kumpulan kedua mereka itu bermakna pasukan kendalian Jorge Vilda memerlukan satu mata bagi mengelak dari tersingkir awal.
La Roja terpaksa mengharungi malam yang penuh dengan debaran di Stadium Brentford Community sehingga tandukan Cadona pada minit ke-89 akhirnya memberikan nafas lega sekali gus mengesahkan tempat mereka ke peringkat lapan terakhir.
Status Sepanyol sebagai pasukan pilihan juga dikejutkan dengan ketiadaan pemenang Ballon d’Or, Alexia Putellas dan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman, Jennifer Hermoso sebelum kejohanan bermula.
Mereka seterusnya perlu membuat peningkatan yang ketara dan drastik jika mahu mengecewakan England yang menjaringkan 14 gol tanpa bolos pada peringkat kumpulan pada Rabu lalu.
Kekalahan Denmark 4-0 di tangan Jerman pada perlawanan pembukaan mereka sebelum ini bermakna finalis Euro 2017 itu perlu menang disebabkan perbezaan jaringan yang lebih rendah.
Meskipun Sepanyol menguasai perlawanan, Denmark mempunyai peluang untuk membuat kejutan sembilan minit sebelum tamat perlawanan apabila sepakan kencang pemain gantian, Nadia Nadim ditepis oleh Sandra Panos.
Vilda dilihat semakin kecewa di tepi padang apabila kegelisahan kelihatan semakin memberi tekanan kepada pasukannya ketika wisel penamat menghampiri dengan hantaran kurang kemas dari anak buahnya yang memberikan harapan kepada Denmark.
Walau bagaimanapun, Sepanyol akhirnya dapat mencipta peluang apabila hantaran silang Olga Carmona disempurnakan oleh Cardona.
“Gol itu untuk semua,” kata Cardona, yang mendedikasikannya untuk rakan sepasukan, Virginia Torrecilla yang menjalani pemulihan kanser otak.– AFP