Sepanyol buka semula sempadan EU 21 Jun

MADRID, 14 JUN – Sepanyol, salah satu destinasi pelancong terkemuka di dunia, akan memulakan semula perjalanan bebas dengan rakan negara Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad depan, umum Perdana Menteri Pedro Sanchez.

Sempadan darat dengan Portugal bagaimanapun akan ditutup sehingga 1 Julai. Portugal telah mengalami kadar jangkitan jauh lebih rendah berbanding Sepanyol akibat pandemik koronavirus.

Madrid sebelumnya merancang untuk memulakan semula perjalanan EU pada 1 Julai tetapi memutuskan untuk membatalkan ‘pemeriksaan sempadan dengan semua negara anggota pada 21 Jun,” kata Sanchez dalam ucapan yang disiarkan di televisyen hari ini.

Tarikh baharu itu ditetapkan serentak dengan pembatalan darurat yang dikenakan oleh Sepanyol ke atas negara-negara dari pertengahan Mac untuk memerangi COVID-19.

Sepanyol telah mencatat lebih daripada 27,000 kematian akibat pandemik COVID-19, salah satu angka tertinggi di dunia.

Namun menjelang esok, lebih 70 peratus daripada 47 juta penduduk Sepanyol akan berada dalam peringkat terakhir pembatalan lockdown yang seharusnya berakhir pada 21 Jun.

Suruhanjaya Eropah telah menyarankan supaya 27 negara anggota EU membuka sepenuhnya sempadan mereka pada 15 Jun dan kebanyakan negara juga sedang merancang untuk melakukannya.

Madrid telah mengisytiharkan koronavirus berjaya dikawal tetapi Sanchez menyatakan kebimbangan bahawa pembukaan semula sempadan mungkin mencetuskan pertambahan kes jangkitan baharu. Perdana menteri itu berkata, “Ia adalah saat penting tetapi kami sudah bersedia.”

Pengunjung yang tiba di Sepanyol selepas 15 Mei dan terpaksa menjalani kuarantin akan melihat tempoh pengasingan mereka berakhir pada 21 Jun, tambah Sanchez. – AFP