Sepanyol buru suspek pembunuhan Barcelona

BARCELONA, 20 Ogos – Warga Barcelona yang kesedihan hari ini bersedia untuk memperingati mangsa dua serangan keganasan dahsyat pada mas di gereja Sagrada Familia bandar itu, ketika polis memburu seorang lelaki Maghribi dipercayai menjadi pemandu kereta yang merempuh pelancong minggu lalu.

Ketika penyiasat bertungkus-lumus cuba menyelesaikan kes itu yang membunuh 14 orang semuanya, Menteri Dalam Negeri Juan Ignacio Zoido mengatakan sel di sebalik peristiwa tersebut yang juga mencederakan 120 orang dan mengejutkan negara itu, sudah pun ‘dibubarkan’ meskipun pihak berkuasa tempatan mengambil pendirian lebih berhati-hati.

Polis mengatakan mereka membuat perangkap bagi Younes Abouyaaqoub, 22, yang dilaporkan media sebagai pemandu van yang merempuh orang di stesen bas sibuk Las Ramblas pada Khamis, membunuh 13 orang.

Satu operasi pemburuan meluas termasuk sekatan jalan dilaksanakan di seluruh Catalonia pada petang Sabtu, menurut polis, menggesa orang ramai untuk tidak mendedahkan maklumat mengenai pos pemeriksaan.

Seorang pegawai polis berkawal di hadapan gereja Sagrada Familia di Barcelona, sebelum mas bagi memperingati mangsa dua serangan keganasan dahsyat di Barcelona dan Cambrils. – AFP
Seorang pegawai polis berkawal di hadapan gereja Sagrada Familia di Barcelona, sebelum mas bagi memperingati mangsa dua serangan keganasan dahsyat di Barcelona dan Cambrils. – AFP

Dua hari selepas serangan melanda hab pelancongan sibuk dan bandar laut berhampiran Cambrils, rakyat Sepanyol terus mempamerkan kecekalan ketika berkabung, dengan orang ramai keluar mengalu-alukan Raja Felipe dan Ratu Letizia ketika mereka tiba untuk memberikan penghormatan kepada mangsa.

Slogan-slogan seperti ‘Las Ramblas is crying but alive’ dilihat di tingkap-tingkap kedai manakala satu konvoi teksi dengan tulisan ‘Kami tidak gentar’ dilekatkan di tingkap mereka, membunyikan hon.

“Orang ramai datang ke sini seperti mereka mahu menenangkan satu sama lain,” kata Sergio Lopez, 36, yang keluarganya menjalankan satu kiosk berhampiran kawasan pelancongan itu. Susulan mas pada jam 10 pagi di Gaudi Sagrada Familia, hampir 100,000 orang dijangka berada di stadium Camp Nou Barcelona hari ini bagi perlawanan pertama pasukan mereka musim ini, dengan tafakur seminit akan diadakan bagi memperingati mangsa-mangsa. – AFP