MADRID, 26 SEPT – Jurulatih Luis Enrique cuba kekal optimis tentang peluang Sepanyol untuk mara dalam Liga Negara-negara berikutan kekalahan mengecewakan di tempat sendiri kepada Switzerland.
Lagi pula, Sepanyol masih boleh menjamin tempat di empat akhir dengan kemenangan di Portugal pada Selasa.
“Ia adalah perlawanan akhir dan kami akan pergi ke sana untuk cuba memenanginya,” kata Luis Enrique selepas tewas 2-1 kepada Switzerland pada hujung minggu, yang menjatuhkan Sepanyol dari kedudukkan pertama ke tempat kedua dalam Kumpulan A2 menjelang perlawanan penentuan di Braga.
Kemenangan terakhir Sepanyol menentang Portugal adalah menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Kejohanan Eropah 2012, dan sebelum itu menang pada pusingan 16 Piala Dunia 2010 dalam perlawanan di mana Portugal mengadu ofsaid pada gol kemenangan David Villa dalam perlawanan di separuh masa kedua.
Bermain di Portugal, Sepanyol tidak pernah menang sejak kemenangan 3-0 dalam perlawanan persahabatan pada 2003, apabila Fernando Torres membuat penampilan sulung pasukan kebangsaannya bersama Sepanyol, dan tidak lama selepas Cristiano Ronaldo mula bermain untuk Portugal.
Pasukan itu telah seri empat kali berturut-turut sejak jurulatih Fernando Santos mengambil alih pasukan Portugal selepas Piala Dunia 2014.
Sepanyol memerlukan kemenangan selepas menyaksikan rentetan 22 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri diakhiri oleh kekalahan menentang Switzerland pada Sabtu, manakala Portugal menang 4-0 di Republik Czech untuk menduduki tempat pertama dan mendapat peluang untuk mara dengan keputusan seri pada hari Selasa.
Sepanyol sedang mencari penampilan kedua berturut-turut dalam empat akhir selepas menamatkan saingan di tempat kedua kepada Perancis tahun lalu.
Pada masa itu, ia juga memerlukan kemenangan terakhir untuk mara ke Empat Akhir, dan ia melakukannya dengan mengejutkan Jerman 6-0 di tempat sendiri. – AP