Sepanyol catat kurang 100 kematian sejak dua bulan

MADRID, 17 MEI – Sepanyol hari ini mencatatkan 87 kematian akibat koronavirus dalam tempoh 24 jam, kali pertama dalam masa dua bulan bahawa kematian harian dicatatkan di bawah daripada 100 orang.

Angka tersebut dicatatkan sehari sebelum Sepanyol melonggarkan sekatan perintah berkurung di seluruh negara, kecuali di Madrid dan Barcelona.

“Buat kali pertama dalam tempoh yang panjang kami mencatatkan kematian di bawah 100 orang, ia adalah berita baik,” kata ketua pusat kesihatan kecemasan, Fernando Simon.

Ketika puncak penularan pada awal bulan April, Sepanyol mencatatkan sebanyak 950 kematian dalam masa sehari.

Sepanyol kekal menjadi salah sebuah negara yang paling teruk terjejas akibat virus dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 27,650 orang, menurut laporan dari kementerian kesihatan hari ini.

Angka kes yang disahkan adalah melebihi 231,000 orang.

Simon berkata Sepanyol kini ‘semakin hampir’ untuk menamatkan penularan virus dan menambah ia adalah hasil usaha semua penduduk.

Dia memberi amaran, tentang bahaya gelombang kedua jangkitan yang ‘masih sangat besar’.

Sepanyol Isnin lalu memulakan rancangan fasa ketiga untuk menamatkan perintah berkurung bagi separuh negara tersebut menjelang hujung bulan Jun.

Kira-kira 70 peratus dari penduduk akan dibenarkan keluar rumah dari perintah berkurung dalam minggu akan datang.

Duduk di luar restoran akan kembali dibenarkan, dengan perhimpunan keluarga dan perjumpaan dengan rakan-rakan dihadkan kepada 10 orang sahaja.

Tetapi penduduk yang menetap di Madrid dan kejiranan rantau Castile y Leon akan terus berada di bawah perintah berkurung minggu hadapan, seperti penduduk Barcelona.

Kedai-kedai kecil walau bagaimanapun dibenarkan untuk dibuka. – AFP