Sepanyol gantung lockdown di Catalonia

MADRID, 13 JULAI – Sebuah mahkamah tempatan hari ini menggantung perintah berkurung yang dikenakan ke atas lebih 200,000 penduduk di kawasan Catalonia, Sepanyol selepas peningkatan dalam kes virus.

Pegawai Catalonia mengarahkan perintah berkurung di bandar Lerida dan kawasan sekitarnya seminggu selepas zon itu diletakkan di bawah sekatan lebih longgar.

“Mahkamah daerah Lerida telah memutuskan tidak akan mengesahkan langkah resolusi dikeluarkan pada 12 Julai,” kata mahkamah agung Catalonia di laman Twitter, walaupun keputusan itu boleh dirayu.

Pengarah kesihatan Catalonia Alba Verges berkata pegawai sedang mencari jalan untuk menyelesaikan isu perundangan itu, menegaskan langkah tersebut adalah penting.

“Kami tidak akan mengambil langkah berkenaan jika ia tidak perlu,” beritahunya kepada radio tempatan, menggesa penduduk supaya tinggal dalam rumah mereka meskipun keputusan mahkamah.

Lebih daripada 70 kluster koronavirus telah dikenal pasti di Sepanyol, dengan kawasan sekitar Lerida antara yang paling membimbangkan.

Pegawai telah mengaitkan wabak baharu kepada pekerja pertanian bermusim yang memetik buah di utara Sepanyol.

Kluster lain telah dikenal pasti di barat laut rantau Galicia dan Basque, di mana pilihan raya serantau pertama negara sejak bermulanya pandemik diadakan semalam. – AFP

Seorang pekerja kesihatan meninggalkan hospital lapangan yang didirikan untuk kes koronavirus di luar pusat jagaan CAP Prat de la Riba di Lerida kelmarin. – AFP