MADRID, 9 OKT – Kerajaan Sepanyol hari ini mengisytiharkan keadaan darurat di sekitar Madrid untuk menguatkuasakan sekatan separa bertujuan mengawal jangkitan virus, membatalkan tentangan dari pihak berkuasa serantau.
“Kerajaan telah memutuskan untuk mengisytiharkan keadaan darurat untuk tempoh 15 hari akan datang,” kata Menteri Kesihatan Salvador Illa susulan mesyuarat kabinet tergempar selepas mahkamah tertinggi rantau menolak sekatan yang dikenakan ke atas 4.5 juta penduduk di sekitar ibu negara.
“Melindungi kesihatan penduduk Madrid adalah amat penting,” kata beliau, merujuk kepada angka yang menunjukkan 66 orang telah terkorban sejak seminggu lalu dan kira-kira 500 sedang ‘bertarung nyawa dalam unit rawatan rapi.’
“Kesabaran mempunyai hadnya,” kata beliau, menyalahkan pihak berkuasa serantau Madrid kerana gagal mengambil tindakan.
“Langkah-langkah mesti diambil untuk melindungi kesihatan penduduk Madrid dan menghalangnya daripada menular ke rantau lain.” – AFP