Sepanyol isytihar darurat kali kedua

MADRID, 26 OKT – Sepanyol mengisytiharkan darurat di negara itu dalam usaha membendung gelombang kedua COVID-19 ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan kes baharu tiga hari berturut-turut di seluruh dunia.

Dengan pengisytiharan dibuat semalam, perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara kecuali Kepulauan Canary.

Perdana Menteri Pedro Sanchez dalam ucapan yang disiarkan di televisyen menyifatkan situasi dilalui negara itu sangat ekstrem.

Langkah itu disepakati pada awal pagi semalam dalam mesyuarat Kabinet yang mengambil masa dua setengah jam selepas menerima desakan daripada pentadbir wilayah yang menuntut kuasa untuk mengenakan perintah berkurung di kawasan masing-masing.

Menerusi kenyataan dikeluarkan negara itu, perintah berkurung pada waktu malam akan bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 6 pagi.

Walaupun darurat pada awalnya hanya berlangsung selama 15 hari, kerajaan merancang untuk meminta Parlimen melanjutkannya selama enam bulan, kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Sanchez mengatakan darurat dapat ditarik lebih awal daripada yang dijangkakan sekiranya keadaan mengizinkan.

“Darurat adalah kaedah paling berkesan untuk menurunkan kadar jangkitan,” ujarnya. – AFP

Pemandangan kawasan Las Ramblas di Barcelona selepas perintah berkurung dikenakan pada 25 Oktober. – AP