Sepanyol lanjut perintah berkurung hingga 9 Mei

MADRID, 19 APRIL – Sepanyol melanjutkan tempoh berkurung dua minggu lagi sehingga 9 Mei depan, berikutan kematian akibat pandemik COVID-19 di negara itu sudah melepasi 20,000 orang.

Perdana Menterinya, Pedro Sanchez, mengumumkan perlanjutan itu semalam, susulan angka rasmi wabak melepasi 20,000.

“Kita sudah melakukan pelbagai langkah paling sukar atas tanggungjawab dan disiplin sosial. Namun, belum menampakkan hasil nyata.

“Kami juga melalui tempoh paling sukar. Namun rakyat diminta supaya patuh dan tidak mensia-siakan keputusan yang dibuat,” katanya. Menurutnya, perintah berkurung ketika ini terus dilaksanakan tetapi ada kelonggaran mulai 27 April ini dengan membenarkan kanak-kanak keluar dari rumah.

“Ketika ini hanya seorang dewasa dibenarkan meninggalkan rumah atas sebab spesifik seperti keluar bekerja, membeli makanan dan ubat-ubatan, temu janji doktor atau urusan kerja.

“Bagaimanapun, larangan itu dilonggarkan berikutan banyak permintaan untuk membenarkan anak keluar. Perkara itu dibenarkan di kebanyakan negara lain yang turut melaksanakan perintah berkurung,” katanya. Sepanyol yang melaksanakan langkah itu sejak 14 Mac lalu merekodkan 20,043 kematian akibat virus, menurut perangkaan terkini Kementerian Kesihatannya.

Sepanyol negara ketiga mencatatkan kematian ter-tinggi selepas Amerika Syarikat dan Itali. – AFP

Petugas kesihatan merawat pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi klinik swasta CEMTRO di Madrid pada 17 April. – AFP