Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sepanyol mara selepas masa tambahan

    COPENHAGEN, 29 JUN – Alvaro Morata dan Mikel Oyarzabal menyumbat gol pada masa tambahan ketika Sepanyol menewaskan Croatia 5-3 dalam pertemuan epik di Copenhagen awal pagi tadi untuk mengesahkan kedudukan ke suku akhir Euro 2020.

    Sepanyol dilihat bakal mara ke pusingan lapan pasukan terakhir di Stadium Parken, Copenhagen hasil jaringan Pablo Sarabia, Cesar Azpilicueta dan Ferran Torres yang meletakkan pasukan bimbingan Luis Enrique 3-1 di hadapan dengan perlawanan berbaki 13 minit pada masa sebenar.

    Akan tetapi pemain gantian, Mislav Orsic merapatkan jurang jaringan pada minit ke-85 dan kemudian membuat hantaran lintang kepada Mario Pasalic yang kemudian menanduk masuk bola ke gawang sekali gus menyamakan kedudukan pada minit kedua masa kecederaan. Gol tersebut memaksa perlawanan disambung ke masa tambahan.

    Sepanyol akhirnya berjaya memenangi perlawanan dalam aksi mende-barkan dengan penyudah kemas dari penyerang, Morata dan Oyarzabal untuk memberikan pasukan Luis Enrique kemenangan.

    Sepanyol tidak pernah memenangi kejohanan utama perlawanan kalah mati sejak menewaskan Itali di final Euro 2012 tetapi mara ke peringkat suku akhir di Saint Petersburg pada Jumaat.

    “Kami banyak menderita. Sudah beberapa kejohanan sejak kami memenangi perlawanan kalah mati dan kami berjaya melakukannya menentang pasukan finalis Piala Dunia,” kata Azpilicueta.

    Sepanyol sepatutnya berada di hadapan pada minit ke-16 apabila Koke menerima hantaran bola daripada Pedri, tetapi percubaan pemain tersebut menuju tepat ke arah penjaga gawang, Dominik Livakovic.

    Tiga minit kemudian, Morata, yang dipilih oleh Luis Enrique meskipun beraksi di bawah tahap sebenar di peringkat kumpulan sehingga menyebabkan kecaman daripada peminat Sepanyol, menyaksikan tandukannya dihalang oleh Domagoj Vida.

    Sejurus selepas itu Pedri menjaringkan gol sendiri, selepas penjaga gol Unai Simon membiarkan hantaran pemain tersebut terlantun ke kaki lalu masuk ke gawang. – AFP

    Reaksi Alvaro Morata selepas menjaringkan gol untuk Sepanyol dalam pertemuan menentang Croatia di Euro 2020, awal pagi tadi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda