Sepanyol menang selesa

MADRID, 11 JUN – Sergio Ramos dan Alvaro Morata masing-masing menjaringkan gol penalti ketika Sepanyol menewaskan Sweden 3-0 awal pagi tadi bagi mengekalkan permulaan sempurna mereka dalam kelayakan Euro 2020.

Sepanyol bergelut memecahkan pertahanan kental Sweden di Santiago Bernabeu sehingga Ramos melepaskan rembatan pada minit ke-64 selepas Sebastian Larsson menampan hantaran lintang Marco Asensio dengan tangannya.

Dua gol lewat dalam masa dua minit kemudian memberikan kemenangan selesa, yang menyaksikan Ramos menyerahkan tugas sepakan penalti kepada Morata bagi jaringan kedua, diikuti gol ketiga menerusi Mikel Oyarzabal.

Kemenangan bermakna Sepanyol kekal di kedudukan teratas Kumpulan F, kini mempunyai kelebihan lima mata di depan tempat kedua, Sweden, dengan empat kemenangan dari empat perlawanan.

Catatan hebat mereka itu hadir selepas prestasi mengecewakan dalam Liga Negara-Negara UEFA, meskipun tiga kemenangan sebelum ini adalah hasil kemenangan ke atas Norway, Malta dan Faroe Islands.

Luis Enrique tiada di petak teknikalnya dalam beberapa perlawanan sejak terlepas kemenangan Sepanyol ke atas Malta pada Mac disebabkan kecemasan keluarga dan dia juga tidak hadir dalam perlawanan tadi, dengan tugas diganti oleh pembantunya, Robert Mareno.

“Kami masih boleh memperbaiki banyak perkara. Kami mencari kesempurnaan,” kata Moreno.

Moreno mengesahkan bahawa dia sentiasa berhubung dengan Luis Enrique, sementara Ramos menegaskan bahawa situasi itu tidak menjejaskan para pemain. – AFP

Sergio Ramos ketika menjaringkan gol pembukaan Sepanyol menerusi sepakan penalti ke atas Sweden. – AP